Home > Sports
Brunei DPMM FC Raih 3 Mata
July 12th, 2023 | 08:47 AM |
1596 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Brunei DPMM FC memastikan 3 mata milik mereka apabila berjaya menewaskan Lion City Sailors 3 - 1 pada saingan Liga Perdana Singapura (SPL) yang diadakan di Bishan Stadium, Singapura, malam tadi.
Brunei DPMM FC lebih awal menguasai perlawanan apabila gawang Lion City Sailors digegarkan melalui sepakan Abdul Azizi bin Ali Rahman pada minit ke-9 selepas menerima umpanan Pengiran Yura Indera Putera bin Pengiran Yunos menjadikan kedudukan 1 - 0.
Gawang Lion City Sailors sekali lagi digegarkan apabila sepakan Muhammad Hakeme Yazid bin Said menambah lagi satu gol bagi Brunei DPMM FC menjadikan jaringan 2 - 0.
Meskipun Lion City Sailors diberikan sepakan penalti pada minit akhir separuh masa pertama perlawanan, namun sepakan Maxime Christophe Lestienne gagal menembusi gawang Brunei DPMM FC.
Memasuki separuh masa kedua, Lion City Sailors terus melancarkan serangan dan hasilnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-52 melalui sepakan Adam Swandi.
Namun, Brunei DPMM FC lebih menguasai permainan dengan beberapa kali percubaan dilakukan untuk menambah jaringan dan memberikan tekanan kepada Lion City Sailors.
Pada minit ke-65 perlawanan, Angel Martinez Ortega menjadi wira Brunei DPMM FC apabila menambah lagi jaringan menjadikan kedudukan 3 - 1.
Kedudukan 3 - 1 kekal hingga ke wisel penamat, sekali gus memastikan tiga mata milik Brunei DPMM FC.
Dengan kemenangan tersebut, Brunei DPMM FC kini berada di tangga ke-6 liga.
Sementara itu, pada perlawanan di Our Tampines Hub, Tampines Rovers FC menewaskan Tanjong Pagar United FC dengan jaringan 2 - 1.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]