Home > School
Kukuhkan Semangat Solidariti, Patriotik, Kenegaraan Dalam Diri Pelajar
Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
November 16th, 2023 | 10:00 AM | 10612 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Penghayatan dan pemahaman khususnya dalam kalangan para penuntut terhadap Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara Brunei Darussalam perlu diserapkan pada diri pelajar sedari awal agar semangat patriotik tidak akan pernah luntur.
Sehubungan itu, seramai 201 penuntut Tahun 7 dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok berpeluang menghadiri Program Taklimat Kenegaraan, 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' yang diadakan di Auditorium 1, sekolah berkenaan, di sini.
Program dikendalikan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, merupakan salah satu usaha berterusan jabatan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.
Ia juga dihasrat akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.
Turut hadir, Guru Kanan Kokurikulum, Awang Haji Shahnon bin Awang Haji Ahmad dan para tenaga pengajar sekolah.
Taklimat Kenegaraan disampaikan oleh Pemangku Ketua Seksyen Komunikasi Strategik selaku Ketua Unit Kenegaraan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris, yang antara lain menyentuh mengenai Raja Kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara iaitu hendaklah memastikan bendera negara dalam keadaan sempurna dan bersih, tidak koyak dan pudar warnanya dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'.
Para penuntut juga berpeluang menyaksikan klip video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera Negara'.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang menyertai Kuiz Kenegaraan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]