FacebookInstagramTwitterContact

 

United Launch Alliance To Launch Final Delta Heavy IV Rocket Today. Here's How To Watch Live           >>           Microsoft may be working on a cheaper, disc-free Xbox Series X           >>           Microsoft Copilot AI will soon run locally on PCs           >>           The White House Lays Out Extensive AI Guidelines For The Federal Government           >>           Gaza Starvation Could Amount To War Crime, UN Human Rights Chief Tells BBC           >>           Moscow Concert Attack: Relatives Of Missing Desperately Seek Answers           >>           Everyone Got Duped By Sam Bankman-Fried's Big Gamble           >>           How President Joseph Boakai Hopes To Rid Liberia Of Its Problems           >>           Two More Abusers At J-Pop Predator's Company           >>           Disney And Desantis Allies End Legal Dispute Over Control Of Theme Park           >>          

 

The Golden Jubilee Celebration of His Majesty the Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam's Accession to the Throne


TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


SEMPENA SAMBUTAN JUBLI PERAK PADA 5 OKTOBER 1992


 


 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim


ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wassalatu Wassalamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma'een, Waba'du.


Dengan penuh khusyuk dan tawaduk, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, maka dapatlah istiadat yang bersejarah ini dilangsungkan di dalam suasana yang aman dan penuh selesa.


Beta lebih dahulu sukacita mengalu-alukan paduka-paduka kekanda dan paduka-paduka adinda raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas beta, sama ada yang datang daripada jauh mahupun dekat dan juga sekalian para jemputan yang budiman. Dengan kehadiran mereka itu, menambahkan lagi kemeriahan dan seri sambutan Jubli Perak beta ini.


Demikian juga dalam kesempatan ini, beta ingin menyatakan penghargaan serta ucapan terima kasih beta kepada semua pihak yang telah sudi mengutus perutusan-perutusan ucap selamat dan lebih-lebih lagi kepada paduka adinda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Haji Mohamed Bolkiah di atas sabda kesyukuran dan ikrar bagi pihak orang-orang bergelar dan pembesar-pembesar Negara Brunei Darussalam.


Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan ganjaran-Nya kepada semua pihak di atas ingatan baik mereka itu bagi menjayakan perayaan ini.


Mengimbas kembali masa 25 tahun yang lalu, beta masih teringat dan bahkan terharu dengan keputusan paduka ayahanda beta, Al-marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang turun daripada takhta dengan kehendak baginda sendiri, semata-mata bagi membolehkan beta diangkat menjadi sultan menggantikan baginda. Peristiwa ini sangatlah luar biasa dan bahkan sangat menggemparkan kerana ianya sungguh tidak diduga oleh sesiapa pun.


Walau bagaimanapun, dengan berbekalkan kepercayaan serta restu daripada paduka ayahanda beta, dan juga ahli-ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja, pembesar-pembesar, pegawai-pegawai kerajaan serta rakyat jelata sekalian, maka beta dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala telah dengan sedaya upaya beta menerima dan berusaha melanjutkan dasar-dasar paduka ayahanda beta, khasnya dalam hal-ehwal memelihara keamanan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan kemakmuran negara, serta juga dengan kuatnya akan memegang dan memuliakan Islam sebagai agama rasmi yang menjadi anutan dan amalan turun-temurun kepada raja-raja, pembesar-pembesar dan rakyat jelata.


Beta bersyukur, bahawa dengan izin Allah dan dengan berkat muafakat serta nasihat daripada pembesar-pembesar negara, dan lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan dan dukungan yang padu daripada kalangan rakyat sekalian, maka dalam masa 25 tahun pemerintahan beta, Negara Brunei Darussalam telah dapat meningkat dan berkembang sebagai sebuah negara yang membangun.


Memanglah dalam masa yang panjang itu, banyak cabaran dan liku-liku yang mesti kita tempuh. Tetapi alhamdulillah, semuanya itu telah berjaya kita lalui dengan cara dan stail yang tersendiri dengan mengutamakan sifat-sifat bijaksana lagi penuh berhati-hati.


Sejarah bangsa dan negara yang panjang telah menjadikan kita suatu bangsa yang gigih lagi berupaya, iaitu berupaya bagaimana hendak mengharungi masa depan kita dengan mengutamakan perpaduan di antara raja dan rakyat. Dengan cara inilah, kita telah dapat membawa negara kita mencapai matlamat-matlamatnya dengan lancar dan selamat, dengan tiada perlu melalui rintangan-rintangan besar. Sekiranya pun ada terdapat sebarang masalah, semuanya itu dapat kita urus dan selesaikan berdasarkan semangat muafakat dan persefahaman yang ikhlas.


Semua ini jika kita teliti dan perhatikan dengan jujur, membuktikan bahawa sistem pemerintahan yang kita amalkan selama ini yang telah berjalan sekian lama itu, adalah kukuh dan malahan berjaya membawa kebajikan kepada rakyat dan negara.


Jadi dari bukti yang ringkas ini adalah cukup untuk memberikan jaminan dan keyakinan bahawa "sistem pemerintahan beraja" yang telah kita warisi dan pelihara itu telah berhasil menciptakan kebahagiaan dan keunggulan untuk Negara Brunei Darussalam.


Bagi kita hubungan raja dengan rakyat bukanlah semata-mata berasaskan tradisi antara yang memerintah dengan yang diperintah tetapi juga dijalin oleh tanggungjawab secara timbal-balik, dalam makna sama-sama menunaikan amanah Allah Taala menurut batas-batas yang diredai-Nya.


Kerana itu beta berdoa, mudah-mudahan apa yang sedang kita nikmati ini akan berkekalan dengan izin Allah menjadi kebanggaan kita semua dan juga generasi yang akan datang.


Di arena antarabangsa pula, kita adalah mengamalkan dasar terbuka untuk mengadakan hubungan berbaik-baik dengan sesiapa sahaja, sama ada dengan rakan-rakan terdekat seperti ASEAN ataupun yang jauh iaitu berdasarkan prinsip dan semangat hormat-menghormati serta tidak campur tangan terhadap hal-ehwal negara masing-masing.


Dengan prinsip ini kita mendapat kawan dan sahabat dan dengan prinsip ini juga kita turut membela hak-hak kemanusiaan, sebagaimana kejadian di Bosnia-Herzegovina yang turut kita kesali dan kutuk itu.


Kita telah mengetahui bahawa orang-orang Islam di sana ditindas dam dianiaya, maka dasar kita ialah membantah kezaliman itu sambil turut menyumbangkan sedikit bantuan.


Kerajaan beta telah pun menetapkan kadar bantuannya, di samping orang ramai pula masih lagi terus menderma sampai sekarang. Di saat yang bersukut baik serta sambil kita bersyukur dan bergembira menyambut Jubli Perak beta ini, maka beta dengan segala rendah hati dan semata-mata kerana Allah jua, akan turut menyumbangkan sedekah peribadi atau "derma khairat" beta kepada Tabung Kesengsaraan Orang-Orang Islam Bosnia sebanyak sejuta ringgit Amerika.


Buat akhirnya, beta adalah tidak lupa merakamkan penghargaan kepada semua peringkat jawatankuasa yang telah dipertanggungjawabkan untuk merancang dan menjayakan perayaan sambutan ulangtahun ke-25 beta menaiki takhta.


Demikian juga penghargaan yang sama dan bahkan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk, pembesar-pembesar negara dan pemimpin-pemimpin masyarakat di atas sokongan dan taat setia mereka kepada beta dan kerajaan. Semoga Allah Subhanahu Wataala jua yang akan memberkati dan melimpahkan rahmat serta hidayat-Nya kepada kita semua, amin.


Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh