Home > In The Court
Musang King : Sebutan Semula Kes 14 Januari Ini
January 2nd, 2021 | 09:16 AM | 1032 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Enam warganegara tempatan yang terlibat dalam hasil aktiviti pengedaran dadah dilanjutkan tahanan reman selama dua minggu bagi membantu siasatan.
Enam defendan, terdiri daripada Jakaria bin Ahad; Siti Izzatul Munirah binti Ahmad; Mohammad Isamuddin bin Ahmad; Ahmad bin Haji Tamit; Maskunah binti Wahab; dan Mohammad Saifuddin bin Ahmad ditangkap dalam Operasi Musang King yang dijalankan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN).
Perintah reman dikeluarkan oleh Pemangku Majistret Kanan Mohammad Marzuqi bin Sabtu menerusi 'video conference' di Mahkamah Majistret hari ini.
Keenam-enam tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27, iaitu atas kesalahan memiliki dadah bagi tujuan mengedar dadah kelas 'A' yang melebihi daripada 100 gram, di mana membawa kepada hukuman gantung hingga mati.
Dadah seberat 18.9943 kilogram Methylamphetamine dijumpai di belakang sebuah rumah di Jalan Junjongan, Kampung Limau Manis, manakala dadah seberat 532.44 gram Methylamphetamine pula ditemui disimpan di dalam botol berhampiran kawasan kediaman yang sama.
Pemangku Majistret Kanan Mohammad Marzuqi juga menetapkan sebutan semula kes akan diperdengarkan lagi pada 14 Januari 2021, jam 2.00 petang.
Pendakwaan tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman, sementara Roy Prabhakaran dan Haji Daud bin Ismail mewakili pihak defendan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]