Home > In The Court
Dipenjara 18 Bulan Kerana Mencuri
January 3rd, 2021 | 13:26 PM | 1201 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Hukuman 18 bulan penjara bermula Khamis, 31 Disember dijatuhkan ke atas seorang lelaki, warga tempatan kerana kesalahan curi.
Muhammad Noh bin Edham, berumur 36 tahun, mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid, di Mahkamah Majistret.
Defendan didakwa melakukan kesalahan kerana mencuri dua tong gas, satu 'CCTV receiver' dan 208 ketul ayam yang diperap di Gerai Nasi Katok, Tanjong Maya, Tutong.
Sekitar 7.30 pagi, pada 10 Februari 2020, pembantu tukang masak mendapati 'CCTV receiver' telah hilang.
Semasa memeriksa gerai tersebut, beliau turut mendapati dua tong gas dan 208 ketul ayam yang diperap dan disimpan di dalam peti sejuk juga hilang.
Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud, dalam pendakwaan kes tersebut memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan kes itu telah ditetapkan pada Februari 2021, namun defendan telah melanggar syarat ikat jamin, di mana defendan telah ditangkap kerana melakukan kesalahan, iaitu rompakan bersenjata semasa dalam tempoh ikat jamin.
Majistret Dewi Norlelawati menekankan di sini menunjukkan defendan tidak pernah menyesal dengan kelakuan dan kesalahannya.
Akibat daripada kelakuan defendan ini, gerai tersebut dan pemiliknya mengalami kerugian.
Justeru, hukuman pencegahan adalah perlu bagi mengelak defendan dan orang-orang seumpamanya melakukan kesalahan yang serupa.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]