Home > In The Court
Didenda BND3,800 Atas 4 Pertuduhan
January 6th, 2021 | 08:59 AM | 1232 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seorang wanita tempatan dikenakan denda BND3,800 atas empat pertuduhan, di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27.
Pemangku Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof mengenakan denda tersebut, di Mahkamah Majistret, hari ini.
Arni Ratna Masreena binti Mohammad (defendan), berumur 25 tahun, didakwa melakukan kesalahan-kesalahan berkaitan dadah, pada tahun 2014 dan 2016.
Pada Oktober 2014, defendan ditangkap dalam satu serbuan daripada pegawai-pegawai Biro Kawalan Narkotik di sebuah rumah di Kampung Maraburong, Tutong, di mana ketika itu beliau bersama dua lelaki dan dua wanita dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Arni Ratna Masreena melakukan kesalahan, iaitu memiliki dadah terkawal, di bawah Seksyen 3A APD, Penggal 27; memakan dadah terkawal, di bawah Seksyen 6(b) APD, Penggal 27; juga memiliki alat-alat untuk menghisap dadah, di bawah Seksyen 7 APD, Penggal 27.
Pertuduhan pertama, defendan didakwa memiliki pecahan hablur, iaitu syabu seberat 1.4503 gram, manakala pertuduhan kedua, defendan memakan dadah terkawal Kelas 'A' Methylamphetamine dan ketiga, defendan memiliki peralatan bagi tujuan menghisap dadah. Ketiga-tiga pertuduhan dilakukan pada tahun 2014.
Pada September 2016, defendan sekali lagi melakukan kesalahan memakan dadah terkawal Kelas 'A' Methylamphetamine bagi pertuduhan keempat.
Semasa kejadian, defendan ditangkap di sebuah rumah di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tanah Jambu bersama dua wanita yang terlibat dalam aktiviti dadah tersebut.
Pendakwaan dijalankan oleh Sofimah binti Ramlee menyatakan defendan sebelum ini tidak mempunyai rekod kesalahan, di bawah APD, Penggal 27.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]