Home > In The Court
Cabul Kehormatan : Ayah Kandung Dipenjara, Disebat
July 9th, 2021 | 10:28 AM | 888 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seorang lelaki warga tempatan (defendan) dijatuhkan hukuman tiga tahun dan lapan bulan penjara berserta dua kali sebatan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Hakim Hajah Hazarena binti POKSJDP Haji Abu Hurairah menjatuhkan hukuman itu terhadap defendan setelah mengaku bersalah di bawah Seksyen 354B Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.
Defendan, 49 tahun, yang juga merupakan bapa kandung didakwa melakukan kesalahan kerana mencabul kehormatan anak perempuannya (mangsa) berusia 15 tahun di kediaman mereka di Kampung Kupang, Jalan Tutong.
Dalam pendakwaan Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Haji Ahmad Ghazali, defendan melakukan kesalahan dengan meraba sebanyak dua kali di kawasan kemaluan mangsa yang ketika itu tertidur di biliknya. Di bilik tersebut, mangsa tidur bersama adik lelaki dan neneknya.
Semasa kejadian, mangsa terjaga setelah mendapati neneknya meninggalkannya di bilik tidur tersebut untuk pergi ke tandas. Semasa tertidur, mangsa tiba-tiba merasakan seseorang meraba-raba pada di kawasan kemaluannya.
Mangsa kemudian segera membuka mata dan mendapati yang meraba itu adalah ayahnya sendiri.
Mangsa terus menendang lengan defendan setelah merasakan defendan sekali lagi menyentuh pada bahagian atas kemaluan seluarnya.
Defendan kemudian meninggalkan bilik tersebut.
Kira-kira jam 10.00 malam pada hari yang sama, mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya.
Dalam rekod, defendan sebelum ini pernah melakukan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]