Home > In The Court
Padah Mencuri, Dihukum Denda BND3,000
July 24th, 2021 | 09:44 AM | 725 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Akibat mencuri, seorang lelaki tempatan dikenakan denda sebanyak BND3,000 atau tiga bulan penjara setelah mengaku bersalah di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.
Hukuman denda ke atas Mohammad Saiful Bahri bin Maidin (defendan) diputuskan oleh Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu di Mahkamah Majistret, di sini, juga turut memerintahkan agar defendan untuk membayar denda, kelmarin.
Mohammad Saiful Bahri, 34 tahun, didakwa mencuri sebuah telefon bimbit Realme 8 Pro di sebuah kedai Mobile Mart Sdn. Bhd. di Kuala Belait.
Pada 19 Julai 2021, defendan pergi ke kedai tersebut bersama isteri dan tiga orang anaknya kerana isteri defendan hendak membeli simkad.
Semasa isterinya sedang berurusan dengan kaunter pembayaran, defendan ketika itu melihat telefon bimbit yang dipamerkan (display) sambil memegang anaknya.
Pada ketika itu, defendan memerhatikan pembantu jurujual membuka kunci keselamatan telefon bimbit yang dipamerkan dan kemudiannya mengambil telefon tersebut dan menyimpannya ke dalam poket seluar sebelah kirinya lalu meninggalkan kedai tersebut bersama isteri dan anak-anaknya.
Pada waktu malam hari yang sama, juruteknik kedai tersebut menyedari kehilangan satu telefon bimbit Realme 8 Pro berwarna hitam dari tempat yang dipamerkan, di mana telefon bimbit tersebut bernilai BND429.
Beliau terus menjalankan penyiasatan menerusi rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai tersebut dan seterusnya membuat laporan ke Balai Polis Kuala Belait.
Pendakwaan tersebut dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]