Home > Bahasa Melayu
Masyarakat Berliterasi STEM, Penggerak Transformasi Negara
MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman selaku tetamu kehormat majlis semasa memberikan ucapan.|FOTO: PELITA BRUNEI (Mohd. Sahrizal Haji Said)
September 1st, 2016 | 11:10 AM | 1260 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Rabu, 31 Ogos. - Pelaksanaan inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah merupakan titik tolak ke arah mewujudkan masyarakat berliterasi STEM yang mampu memahami sekurang-kurangnya konsep asas STEM dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut bagi memahami dunia sekeliling.
Berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan Kali Kedua bertempat di Dewan Serbaguna Universiti Teknologi Brunei (UTB), Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menjelaskan bahawa program ini akan membantu masyarakat kita untuk menggunakan teknologi terkini serta prinsip matematik dan saintifik dalam kehidupan seharian terutamanya untuk berkomunikasi, mempermudahkan urusan dan menyelesaikan masalah.
Menurut Yang Berhormat, program ini juga adalah titik tolak dan landasan terbaik untuk menjadi penggerak transformasi di negara kita. 'Saya percaya melalui program ini kita berupaya menghasilkan prototaip sendiri hasil inovasi tempatan yang akan membanggakan kita dan boleh mewujudkan idea untuk mengembangmajukan ekonomi negara ini.", jelasnya.
''Ini akan berlaku jika pembudayaan inovasi dan kreativiti dapat dilaksanakan secara terancang dan berterusan agar kesannya adalah berpanjangan dan efektif,'' terang Yang Berhormat.
Laporan Global Competitiveness Report 2013-2014 ujar Yang Berhormat, telah meletakkan negara kita sebagai negara ke-26 paling berdaya saing dalam kalangan 148 negara iaitu meningkat dua kedudukan dari tahun sebelumnya.
Pencapaian baik itu, jelas Yang Berhormat, harus meyakinkan kita bahawa kita mampu memantapkan pencapaian dan kedudukan negara dalam Global Innovation Index tersebut dan akan pasti mengulangi kejayaan itu lagi.
Kementerian Pendidikan juga, kata Yang Berhormat, selaku perancang dan pelaksana pendidikan mesti memastikan penyediaan pendidikan yang berterusan dan latihan kerja praktikal dan latihan semula kemahiran kepada pewaris masa depan iaitu para pelajar kita.
Yang Berhormat seterusnya menambah bahawa ini adalah bagi memanfaatkan sepenuhnya keupayaan mereka dan agar mereka tahun landasan yang betul untuk mengembangkan ilmu dan teknologi yang dipelajari itu.
Oleh sebab itu tegas Yang Berhormat, penganjuran pertandingan seumpama ini perlu sentiasa diadakan dan dipertingkatkan penyertaannya selain dari masa ke semasa dinilai keberkesanannya agar manfaatnya dapat dicapai secara maksimum.
Terdahulu sebelum itu, Yang Berhormat berkata bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat mengutamakan pendidikan rakyatnya.
Dengan yang demikian, pelbagai inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan di setiap peringkat pendidikan adalah menjurus untuk memantapkan lagi potensi setiap pelajar.
''Penyediaan kurikulum yang kukuh, guru yang berkualiti tinggi dan prasarana yang mencukupi adalah antara faktor-faktor utama di dalam memastikan kejayaan kita mendidik para pelajar kita menjadi insan yang berjaya mengikut potensi mereka masing-masing.
''Ini termasuklah pelajar-pelajar yang cenderung dan mempunyai penguasaan yang tinggi dalam mata-mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Atas dasar itu, Kementerian Pendidikan telah membuat inisiatif menaik taraf mata pelajaran Design & Technology (D&T) dan mata pelajaran teknikal yang lain seperti Business, Art and Technology (BAT) dengan memperkenalkan projek 'Enhancement of D&T and other Technology Subjects for Government Secondary Schools and Vocational & Technical Institutions' bagi menggilap elemen teknologi dan inovasi di kalangan generasi muda ini,'' jelas Yang Berhormat.
Matlamat ini ujar Yang Berhormat, selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan untuk memupuk minat pelajar dalam bidang-bidang tersebut ke arah merealisasikan Wawasan 2035: mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya diukur melalui piawaian tertinggi antarabangsa.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Aimi Sani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]