Home > Bahasa Melayu
Lawatan Bersepadu TAP dan Jabatan Buruh
PEGAWAI Penguatkuasa TAP semasa membuat pemeriksaan di salah sebuah premis semasa Lawatan Bersepadu dijalankan.
September 3rd, 2016 | 10:59 AM | 1746 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sabtu, 27 Ogos 2016. – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan dengan kerjasama dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Buruh, pada hari ini telah mengadakan Lawatan Bersepadu ke premis-premis perniagaan di sekitar Jalan Muara, di sini.
Tujuan utama lawatan ini adalah bagi memastikan majikan menjalankan tanggungjawab di dalam pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja-pekerja tempatan ke Skim TAP dan SCP serta pada masa yang sama memastikan majikan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Buruh bagi pekerja tempatan dan pekerja asing, selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009.
Daripada lawatan ini, sebanyak sembilan premis telah diperiksa dan didapati satu majikan dan 11 pekerja tempatan masih belum didaftarkan di bawah skim TAP dan SCP.
Manakala dalam operasi lawatan berasingan yang diadakan pada 16 Ogos lalu didapati dua majikan dan empat pekerja tidak berdaftar di bawah skim TAP dan SCP.
Jabatan Buruh pula mendapati beberapa kesalahan dari pihak majikan di mana pekerja tempatan tidak diberikan kontrak pekerjaan, tiada pembayaran kerja lebih masa dan kelambatan dalam pembayaran gaji.
PEGAWAI Penguatkuasa TAP dan Pegawai Penguatkuasa Jabatan Buruh semasa membuat pemeriksaan di salah sebuah premis semasa Lawatan Bersepadu dijalankan.
Di dalam kesempatan ini, Jabatan Buruh ingin menekankan kepada pihak majikan untuk mengambil berat akan kesejahteraan pekerja-pekerja mereka dan Jabatan Buruh tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya majikan didapati melakukan kesalahan berkenaan.
Sementara itu, TAP ingin mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak ke Skim TAP dan Skim SCP.
Pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke Skim TAP dan Skim SCP. Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan. Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang BND3,000.00 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih BND10,000.00 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Sebarang aduan bolehlah dibuat dengan mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja.
Lawatan Bersepadu ini merupakan kali kedua diadakan bagi tahun 2016 dan kerjasama ini akan diteruskan lagi di masa akan datang di dalam memastikan kesejahteraan pekerja di negara ini terjaga.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Tabung Amanah Pekerja
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]