Home > In The Court
Bapa Cabul Anak Dihukum Penjara 20 Tahun, 12 Sebatan
November 17th, 2021 | 09:50 AM | 762 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seorang lelaki warga tempatan, berusia 39 tahun, yang tergamak mencabul kehormatan tiga orang anak kandungnya dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, di sini, hari ini.
Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh Jurubahasa Mahkamah.
Mengikut pertuduhan, defendan didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap anak perempuannya, ‘X’ yang berusia 12 tahun pada awal tahun 2016 di flat mereka.
Pada Januari 2020, defendan juga mencabul anak perempuannya yang berusia 15 tahun, ‘Y’, di flat mereka.
Defendan kemudian melakukan serangan seksual terhadap ‘X’ pada awal pagi pada 11 Disember 2020.
Terakhir, tertuduh mencabul anak perempuannya, ‘Z’ yang berusia 10 tahun, di flat yang sama pada 17 Disember 2020.
Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman mendesak agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi mencerminkan keburukan faktor-faktor kes.
Pihak pendakwaan mengemukakan bahawa terdapat penyalahgunaan kepercayaan dan kewibawaan terhadap anak-anaknya sendiri sejak ibu mereka ditempatkan di Unit Kesihatan Mental pada tahun 2016 dan ia berterusan sehinggalah dia dikeluarkan pada tahun 2020.
Timbalan Pendakwa Raya juga mendesak agar mahkamah mengambil kira fakta bahawa defendan telah mengabaikan permintaan ‘X’ dan menggunakan kekerasan terhadapnya, sementara dua anak perempuan yang lain apabila dia menganiaya mereka dengan menganggapnya sebagai jenaka dan mentertawakannya.
Pihak pendakwaan seterusnya mendesak agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat yang mencerminkan usia muda anak perempuan defendan dan ketika defendan melakukan kesalahan tersebut. Mahkamah juga melihat eksploitasi seksual yang berpanjangan terhadap ‘X’.
Di samping itu, mahkamah juga mengambil kira kedudukan defendan sebagai seorang bapa dan tugasnya sebagai seorang kakitangan beruniform.
Hakim juga bersetuju dengan usaha pihak pendakwaan agar hukuman berat dikenakan berikutan kes-kes sebegitu berleluasa sejak kebelakangan ini dan defendan juga membuat tuntutan agar dibicarakan pada awalnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]