Home > Bahasa Melayu
Pesta Kikik Mendapat Sambutan Meriah
MENTERI Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong (dua, kanan) merasmikan Pesta Layang-layang (Kikik) sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun di Dermaga Kastam Diraja Brunei. |FOTO: PELITA BRUNEI (Azmah Haji Ahad)
September 19th, 2016 | 10:57 AM | 2685 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Ahad, 18 September. - Permainan kikik diminati oleh golongan kecil mahupun golongan dewasa, yang mana lazimnya permainan kikik akan dimainkan ketika hujung minggu atau ketika cuti persekolahan atau selepas waktu bekerja yang berfungsi sebagai alat hiburan.
Persatuan Kikik Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei Muara dan beberapa agensi yang lain mengadakan Pesta Layang-layang (Kikik) sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun.
Acara seumpamanya sudah lama tidak diadakan, iaitu sejak tujuh tahun lalu, kini diadakan semula di Dermaga Diraja, di sini dirasmikan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong, selaku tetamu kehormat majlis.
YANG Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.
Tujuh kategori pertandingan kikik dibukakan bagi penyertaan orang ramai, iaitu Pertandingan Kikik Biasa (lebar tidak kurang dari empat kaki), Kikik Si-Julak (Kanak-kanak), Kikik Siar Manjar, Kikik Ciptaan Bebas, Merakat Kikik bagi kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah dan dinaikkan, Peraduan Membuat Kikik Biasa dan terus dinaikkan serta Pertandingan Mewarna bagi kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.
Bagi pertandingan Kikik Biasa, juara disandang oleh Awang Haji Tuah bin Haji Tarif yang juga turut menjuarai Kikik Si Julak (Kanak-kanak), sementara bagi Kikik Siar Manjar dimenangi oleh Awang Malek bin Daud yang juga turut memenangi Kikik Ciptaan Bebas, manakala pertandingan Membuat Kikik Biasa telah dijuarai oleh Awang Putra bin Haji Chuchu, pertandingan Merakat Panah Kikik pula dimenangi oleh Awang Md. Najib Izzat bin Hamdani dan Mewarna Kikik dijuarai oleh Awang Najib bin Hamdan.
MENTERI Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong (tengah) menyaksikan sebahagian dari pameran yang disediakan oleh Persatuan Pekikik Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, penganjuran pesta berkenaan juga adalah sejajar dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ketika Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 baru–baru ini di Laos dalam menjadikan masyarakat hidup lebih harmoni dalam komuniti ASEAN dan menyemai keunikan pelbagai budaya di rantau ini.
Persatuan berkenaan dalam usahanya untuk membarigakan permainan itu telah menyediakan beberapa platform rancangan bagi mengadakan jerayawara atau pameran tentang permainan kikik dan sekali gus memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai aspek-aspek keseluruhan mengenai permainan kikik, selain turut merancang untuk memberikan pendedahan mengenai permainan berkenaan dalam kalangan penuntut sekolah menerusi aktiviti kokurikulum sekolah.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Khartini Hamir
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]