Home > Bahasa Melayu
Enam Penuntut Dianugerahkan Biasiswa 'Sultan's Scholar'
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan biasiswa 'Sultan’s Scholar' Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. |FOTO: PELITA BRUNEI (Mohamad Azmi Awang Damit, Hernie Suliana Haji Othman)
September 25th, 2016 | 10:11 AM | 1675 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sabtu, 24 September. - Seramai 38 orang pelajar telah menerima Anugerah Biasiswa 'Sultan's Scholar' Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) sejak diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2006 sehingga tahun 2015.
Bermula pada tahun 2013, Yayasan telah memperluaskan skim biasiswa 'Sultan's Scholar' untuk skim meninggikan tahap pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Sehingga tahun 2015, seramai tiga orang menerima biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dan seorang lagi menerima biasiswa bagi meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana.
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama paduka-paduka anaknda semasa berkenan menerima junjung ziarah.
Pada tahun ini, empat orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB bagi sesi pengajian 2016 / 2017 manakala dua orang penuntut menerima anugerah biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB bagi meninggikan tahap pengajian.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB bagi sesi pengajian 2016 / 2017 kepada keenam orang penerima tersebut, berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini.
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan menganugerahkan 'Sultan’s Scholar' kepada Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah.
Berangkat sama ialah putera-putera Kebawah DYMM iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.
Majlis Penganugerahan Biasiswa 'Sultan's Scholar' dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah DYMM kemudiannya dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB bagi menyempurnakan Anugerah Biasiswa 'Sultan's Scholar' kepada para penerima diikuti bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dan putera-putera baginda berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama para penerima dan ibu bapa masing-masing dan seterusnya berkenan bergambar ramai bersama para penerima sebagai kenang-kenangan.
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan menganugerahkan 'Sultan’s Scholar' kepada Dayang Hajah Izzatul Faizah binti Dr Haji Mohamad.
Empat orang penuntut yang menerima anugerah biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB bagi sesi pengajian 2016 / 2017 adalah Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah; Dayang Hajah Izzatul Faizah binti Dr. Haji Mohamad; Awang Muhamad Aiman Syafiq bin Haji Ramlee dan Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin.
Manakala dua orang penuntut yang menerima anugerah biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB bagi meninggikan tahap pengajian ialah Dayang Hajah Andi Diinah Kiasatinah binti Haji Alliasim dan Awang Tan Zong Hao.
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan menganugerahkan 'Sultan’s Scholar' kepada Awang Muhamad Aiman SYafiq bin Haji Ramlee.
Mereka ini akan meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing di universiti-universiti yang terkemuka di United Kingdom dan Mesir.
Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia dan telah meneruskan pengajian peringkat 'A' Level di Cardiff Sixth Form College, Cardiff, United Kingdom. Melalui biasiswa 'Sultan's Scholar' ini, beliau akan meneruskan pengajian dalam Jurusan 'Biomedical Sciences' di Imperial College London, United Kingdom.
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan menganugerahkan 'Sultan’s Scholar' kepada Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin.
Dayang Hajah Izzatul Faizah binti Dr. Haji Mohamad juga sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia dan telah meneruskan pengajian peringkat 'A' Level di Cardiff Sixth Form College, Cardiff, United Kingdom. Melalui biasiswa 'Sultan's Scholar' ini, beliau akan meneruskan pengajian dalam Jurusan Undang-Undang (Law) di London School of Economics & Political Science, United Kingdom.
Manakala Awang Muhamad Aiman Syafiq bin Haji Ramlee adalah lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dan melalui biasiswa 'Sultan's Scholar', beliau akan meneruskan pengajian dalam Jurusan 'Biomedical Engineering' di University College London, United Kingdom dan Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin adalah lepasan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan telah dianugerahkan Biasiswa Kerajaan bagi mengikuti pengajian Diploma 'Aliyah Qiraat dan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (sesi pengajian 2013 - 2016). Melalui biasiswa 'Sultan's Scholar', beliau akan meneruskan pengajian dalam Jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Mahad Qiraat, Al Azhar, Shoubra, Mesir.
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan menganugerahkan 'Sultan's Scholar' kepada Dayang Hajah Andi Diinah Kiasatinah binti Haji Alliasim.
Sementara itu, Dayang Hajah Andi Diinah Kiasatinah binti Haji Alliasim telah menerima Anugerah Baisiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB pada 14 September 2013 dan lulus dengan memperolehi B.Sc (Hons) Second Class Upper in Biomedical Science di University College London, United Kingdom. Pada tahun ini, Dayang Hajah Andi Diinah Kiasatinah menerima biasiswa bagi meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang 'Global Givernance and Ethnics (Political Science) di University College London, United Kingdom.
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan menganugerahkan 'Sultan's Scholar' kepada Awang Tan Zong Hao.
Awang Tan Zong Hao sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia bagi meneruskan pengajian peringkat 'A' Level di Abingdon School, Oxfordshire, United Kingdom. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Warwick, United Kingdom dan telah lulus dengan memperolehi Kepujian Kelas Pertama (First Class with Honours) dalam Jurusan Integrated Master Degree in Civil Engineering. Pada penyampaian Anugerah Baisiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB tahun ini, Awang Tan Zong Hao menerima biasiswa bagi meninggikan tahap pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang 'Civil Engineering' di University of Oxford, United Kingdom.
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama paduka-paduka anaknda semasa beramah mesra bersama penerima dan keluarga penerima biasiswa.
Biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB adalah merupakan biasiswa yang berprestij dan ia dianugerahkan kepada penuntut-penuntut yang telah dikenal pasti oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai penuntut yang cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang ke peringkat ijazah atau yang sebanding dengannya di institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di luar negara yang dibenarkan oleh yayasan dan diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama paduka-paduka anaknda semasa beramah mesra bersama penerima dan keluarga penerima biasiswa.
Tujuan penyediaan biasiswa 'Sultan's Scholar' adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang ugama, raja dan negara.
Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penganugerahan biasiswa 'Sultan's Scholar' bermula pada tahun 2006 iaitu bagi sesi pengajian tahun 2006 / 2007.
ANTARA yang hadir di Majlis Penganugerahan Biasiswa 'Sultan's Scholar' di Istana Nurul Iman.
PENERIMA-PENERIMA Biasiswa 'Sultan's Scholar' bergambar ramai bersama keluarga.
Turut hadir pada Majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Hal Ehwal Ugama; Setiausaha-setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama' Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu (Steering Committee) Bagi Pelaksanaan Skim Biasiswa 'Sultan's Scholar' Yayasan; Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja (Working Committee) Bagi Pelaksanaan Skim Biasiswa 'Sultan's Scholar' Yayasan; pegawai-pegawai kanan jabatan kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai kanan Yayasan, pengetua-pengetua dan sebahagian penuntut dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]