Home > Bahasa Melayu
Brunei DPMM FC Berpesta Gol
DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Singapura di antara pasukan Brunei DPMM FC dan Garena Young Lions. Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. | FOTO: INFOFOTO (Muhammad Asri Haji Awang Abas)
April 9th, 2016 | 11:34 AM | 2095 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Jumaat, 8 April. - Pasukan Brunei DPMM FC berpesta gol selepas beraksi dengan cemerlang di hadapan penonton sendiri selepas menang besar ke atas pasukan Garena Young Lions dengan jaringan 4-1 dalam Liga Singapura (Liga S), di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi.
Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berserta kerabat diraja yang lain.
JUGA berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.
Pada separuh masa pertama perlawanan, pasukan Brunei DPMM FC mengejutkan pasukan lawan setelah membuka jaringan seawal minit ke-4 melalui jaringan Maududi Hilmi Kasmi hasil umpanan yang cantik daripada tandukan Rafael Ramazzoti susulan hantaran lintang yang dilakukan oleh Paulo Sergio dari sayap kanan.
Seminit sebelum separuh masa pertama berakhir, Fareez Farhan mengejutkan pasukan tuan rumah setelah menyamakan jaringan 1-1, yang merupakan gol tunggal pasukan Garena Young Lions pada perlawanan tersebut.
Kembali beraksi pada separuh masa kedua, pasukan Brunei DPMM FC sekali lagi mendahului pasukan lawan pada minit ke-50 apabila sepakan sudut yang tepat daripada Azwan Ali Rahman berjaya disudahi dengan tandukan cantik oleh pemain kelahiran asal Brazil, Rafael Ramazotti.
KETUA Pasukan Brunei DPMM FC, Rosmin Kamis melepaskan rembatan yang cuba dihalang oleh para pemain Garena Young Lions.
Nasib pasukan Garena Young Lions bertambah buruk apabila pemain bek tengah berjersi 25 pasukan tersebut, Amirul Adli Azim menjaringkan gol sendiri pada minit ke-58 setelah menerima asakan daripada pemain pasukan Brunei DPMM FC.
Sepakan penalti tajam daripada Paulo Sergio menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-82, setelah pemain asal Portugis itu dikasari oleh pemain pelawat di dalam kotak penalti.
PENYERANG Brunei DPMM FC, Paulo Sergio semasa mengatur serangan ke kawasan Garena Young Lions.
Sementara itu, dalam perlawanan lain, Albirex Niigata FC pula membelasah Home United FC dengan jaringan yang berkesudahan 3-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Kemenangan tersebut meletakkan pasukan Brunei DPMM FC tempat keempat dengan mengutip 11 mata, 3 mata di belakang pendahulu liga, Albirex Niigata FC yang mengutip 14 mata setakat ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]