Home > Bahasa Melayu
Perkukuh Peranan, Tanggungjawab Rakyat Ke Arah Menyumbang Negara
February 10th, 2023 | 11:41 AM | 109 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Jemaah Muslimah Masjid-Masjid Mukim Keriam, Daerah Tutong pada hari kedua diteruskan lagi dengan mendengarkan taklimat bertajuk 'Peranan dan Tanggungjawab Sebagai Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.'
Taklimat yang diadakan pada sebelah petang hari ini disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Jabatan Penerangan, Dayang Hajah Noorhijrah Binti Haji Idris bertempat di Auditorium, jabatan berkenaan.
Kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah; masyarakat serta keluarga dalam sama-sama menyumbang untuk kesejahteraan negara.
Program kemudian diakhiri dengan lawatan rombongan ke Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei yang terletak di Jalan Residency, di ibu negara untuk memperkenalkan dan memperlihatkan secara dekat produk-produk kain-kain Tenunan Brunei yang dipamerkan di tujuh galeri pameran seperti Galeri Pameran Tenunan, Galeri Songkok, Galeri Batik, Galeri Perak, Galeri Anyaman, Galeri Tembaga dan Galeri Seniukir.
Program kelolaan Jabatan Penerangan tersebut antara lain dihasratkan untuk menyuntik semangat dan menginspirasikan anggota masyarakat melalui taklimat-taklimat dari agensi-agensi tertentu dan perkongsian maklumat melalui sesi lawatan ke tempat-tempat terpilih bagi mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan berilmu dalam sama-sama menanai hasrat kerajaan mencapai Wawasan Brunei 2035.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]