FacebookInstagramTwitterContact

 

Dortmund Crush Augsburg 5-1 Ahead Of Champions League Semi-Final           >>           Ed Sheeran Hails Unlikely Ipswich Promotion From Miami GP           >>           Inside A 'Peaceful And Proud' Gaza Protest Camp At A UK University           >>           European Election: German Chancellor Scholz Condemns Attack On Matthias Ecke           >>           US Campus Protests: 'Student Arrests Will Be My Final College Memory'           >>           Ghanaians Party Big Time With Medikal At London O2 Concert           >>           North Korean Weapons Are Killing Ukrainians. The Implications Are Far Bigger           >>           Media Statement on the Issue of Replacing Pre-Paid Meter to USMS           >>           Fire and Rescue Department Events           >>           Khatam Al-Qur'an Ceremony           >>          

 

SHARE THIS ARTICLE




REACH US


GENERAL INQUIRY

[email protected]

 

ADVERTISING

[email protected]

 

PRESS RELEASE

[email protected]

 

HOTLINE

+673 222-0178 [Office Hour]

+673 223-6740 [Fax]

 



Upcoming Events





Prayer Times


The prayer times for Brunei-Muara and Temburong districts. For Tutong add 1 minute and for Belait add 3 minutes.


Imsak

: 05:01 AM

Subuh

: 05:11 AM

Syuruk

: 06:29 AM

Doha

: 06:51 AM

Zohor

: 12:32 PM

Asar

: 03:44 PM

Maghrib

: 06:32 PM

Isyak

: 07:42 PM

 



The Business Directory


 

 



Bahasa Melayu


  Home > Bahasa Melayu


Tegakkan Integriti Profesi Perundangan


 


 February 10th, 2023  |  11:53 AM  |   155 views

BANDAR SERI BEGAWAN

 

Sejumlah 3,542 kes telah diperdengarkan secara dalam talian di antara bulan Ogos 2021 hingga Oktober 2022, dan perbicaraan dalam talian akan kekal menjadi ciri mahkamah.

 

Justeru itu, pengamal perundangan ditekankan untuk sentiasa mengemas kini dan peka akan kecelikan digital agar mereka tidak akan mengalami risiko tertinggal di belakang.

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon semasa Upacara Pembukaan Tahun Undang-Undang 2023 yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Tinggi - Mahkamah Besar, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, di sini.

 

Yang Amat Arif turut mengongsikan statistik tahun sebelumnya, di mana dalam tempoh 12 bulan yang berakhir pada Disember 2022, bilangan kes-kes sivil yang telah difailkan di dalam Mahkamah Rayuan, perbicaraan interlokutori yang difailkan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Perantaraan dan kes-kes sivil di Mahkamah Majistret telah meningkat dengan ketara sekali apabila dibandingkan dengan tahun 2021.

 

Tambah Yang Amat Arif lagi, ia menandakan pulangan positif untuk litigasi sivil dan komersial dengan pelonggaran sekatan, sebagaimana ekonomi telah dibuka semula.

 

Yang Amat Arif seterusnya menambah, 100 peratus penghakiman untuk perbicaraan sivil di dalam Mahkamah Tinggi telah disampaikan menepati jangkaan iaitu di antara satu ke tiga bulan dari tarikh penyerahan penghujahan terakhir.

 

Sementara itu menurut Yang Amat Arif lagi, Mahkamah Majistret telah menyenaraikan sebanyak 1,056 kes jenayah difailkan pada tahun 2022 dan ia adalah satu peningkatan dari bilangan tahun 2021 iaitu sebanyak 880 kes jenayah difailkan.

 

Bersamaan dengan itu jelasnya, bilangan kes-kes jenayah yang dirayukan ke Mahkamah Tinggi dari Mahkamah Majistret juga menunjukkan satu peningkatan apabila dibandingkan dengan tahun 2021.

 

Yang Amat Arif turut menegaskan bahawa walaupun kes difailkan meningkat, kadar pelupusan perbicaraan jenayah dalam Mahkamah Majistret masih pada kadar 76.8 peratus dan 77 peratus penghakiman untuk perbicaraan jenayah dalam Mahkamah Majistret telah disampaikan menepati jangkaan di antara satu hingga tiga bulan dari tarikh penyerahan penghujahan terakhir.

 

Isu etika dan tahap profesional dalam profesi perundangan juga disentuh oleh Ketua Hakim yang mana Yang Amat Arif telah melaporkan bahawa, menurut data yang diberikan oleh Persatuan Undang-Undang Brunei Darussalam, terdapat 23 aduan yang diperdengarkan oleh Jawatankuasa Siasatan dari tahun 2018 hingga 2022, yang mana tiga daripadanya telah disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin.

 

Yang Amat Arif seterusnya menyentuh tentang kes baru-baru ini yang melibatkan seorang ahli kanan badan peguam, di mana Mahkamah telah berpuas hati bahawa adanya unsur ketidakjujuran dan penipuan oleh peguam tersebut yang mana salah laku tersebut sangat serius dan Mahkamah telah memutuskan bahawa pengeluaran beliau dari keahlian badan peguam adalah tidak disangkal lagi.

 

“Mahkamah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas apabila perlu demi untuk menegakkan keyakinan awam pada pentadbiran keadilan dan pada integriti profesi perundangan, demi untuk melindungi orang awam yang bergantung pada khidmat peguam cara," tegas Yang Amat Arif lagi.

 

Yang Amat Arif seterusnya menegaskan bahawa satu mesej penting yang harus disampaikan oleh komuniti perundangan adalah sebarang kemerosotan pada piawaian adalah tidak dapat diterima dan menekankan bahawa peguam yang telah didapati bersalah atas salah laku akan dihukum sewajarnya.

 

Upacara tahunan ini telah mengumpulkan ahli-ahli Kehakiman dan profesi undang-undang bagi menandakan pembukaan tahun baharu Mahkamah, dan ia telah diungkayahkan secara fizikal untuk kali pertama sejak pandemik COVID-19 bermula, selepas dua tahun ditiadakan disebabkan oleh sekatan.

 

Terdahulu itu, Upacara Pembukaan Tahun Undang-Undang dimulakan dengan mengalu-alukan kembali perbarisan kehormatan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dan seterusnya perbarisan kawalan kehormatan PPDB yang telah diperiksa oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar.

 

Tradisi Upacara Pembukaan Tahun Undang-Undang menggariskan peranan utama Kehakiman dalam pentadbiran keadilan yang mana memfokuskan perhatian kepada komuniti perundangan.

 

Upacara kemudian diteruskan dengan ucapan-ucapan daripada Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa dan Yang Di-Pertua Persatuan Undang-Undang Brunei Darussalam, Awang Haji Mansur bin Dato Paduka Dr. Haji Latif.

 

Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang juga dihadiri oleh Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Pemangku Menteri di JPM dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM , Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

 

Turut hadir, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie, Duta-duta dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi, Pegawai-pegawai kanan kerajaan, Pegawai-pegawai Kehakiman Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, Pegawai dan Kakitangan Jabatan Kehakiman Negara, Pejabat Peguam Negara, Persatuan Undang-Undang, dan pegawai dan kakitangan dari berbagai agensi penguatkuasaan kerajaan.

 


 

Source:
Ihsan PELITA BRUNEI

by PELITA BRUNEI

 

If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]

 

Related News


Lahad Datu Murder: Remand Of 13 Students Extende

 2024-03-30 07:57:54

North Korean Weapons Are Killing Ukrainians. The Implications Are Far Bigger

 2024-05-05 10:30:19

Have The Wheels Come Off For Tesla?

 2024-05-04 07:51:07