Home > Bahasa Melayu
Semai Semangat Patriotisme Pelajar
February 16th, 2023 | 08:29 AM | 172 views
BELAIT
Pengagihan bendera kecil meja kepada para pelajar sekolah dihasratkan dapat menanam semangat patriotisme dan rasa cinta kepada bendera negara, menghormatinya dan menjaga kemuliaannya selaku pewaris kepada bangsa dan negara.
Sebagaimana lazimnya, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-39 tahun ini, Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja diadakan serentak di keempat-empat buah daerah merangkumi para pelajar sekolah rendah, menengah dan maktab serta sekolah Arab dan sekolah ugama.
Bagi Daerah Belait, majlis berkenaan diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah St John's yang melibatkan seramai 163 pelajar.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan pengagihan bendera kecil meja berkenaan, Ketua Kluster 6, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Halizawati binti Haji Kepli.
Atur cara dimulakan dengan Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dipimpin oleh pasukan koir Sekolah St John's diikuti dengan pengagihan bendera kecil meja kepada wakil penuntut Tahun 1 hingga Tahun 11.
Majlis juga diserikan lagi dengan nyanyian lagu patriotik bertajuk 'Berkibarlah Bendera'.
Turut hadir, Pengetua Sekolah St John's, Dr. Teh Keng Waat dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Pengagihan bendera kecil meja merupakan anjuran Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bertujuan untuk menyemai rasa kecintaan dan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Pada masa yang sama, ia turut diharapkan dapat mendisiplinkan diri penuntut serta merasa megah dan bangga kerana dapat sama-sama memeriahkan lagi suasana Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]