Home > Bahasa Melayu
Pupuk Tabiat Baik Untuk Lautan Lebih Bersih
March 3rd, 2023 | 11:23 AM | 101 views
BERAKAS
Kementerian Pendidikan melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) hari ini menyelaras penyertaan para pelajar dan guru-guru ke 2nd ASEAN-Japan Symposium on Marine Plastic Waste Education yang dianjurkan oleh ASEAN-Japan Centre (AJC) secara maya.
Sebanyak lapan buah Negara Anggota ASEAN (AMS) dan Jepun menghadiri simposium berkenaan.
Seramai 300 orang pelajar daripada 25 buah sekolah rendah dan sekolah menengah termasuk Pusat Tingkatan Enam di Negara Brunei Darussalam (NBD) serta para pegawai dari Pusat STEP, Kementerian Pendidikan menyertainya.
Sesi pertama simposium, iaitu 'Spreading the Light to Nurture Good Habits for Cleaner Oceans' disertai oleh Pegawai Pelajaran Kanan dari Pusat STEP, Awang Misli bin Moksin, selaku Project Partner ASEAN-Japan EcoSchool Programme dari NBD dan ASEAN-Japan Centre Student Fellows dan Project Partner dari negara ASEAN dan Jepun.
Sesi kedua simposium bertajuk 'Initiatives of the young generation in ASEAN-Japan to reduce marine plastic waste' diwakili oleh dua orang pelajar dari Sekolah Rendah Lumapas, iaitu Awang Muhammad Faqeeh Rayyan bin Loqman; dan Dayang Darwisyah Nabilah binti Jamel yang membuat rakaman video pembentangan mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh sekolah, iaitu penggunaan botol plastik sebagai dekorasi dan penggunaan semula sisa sampah untuk membuat robot.
Melalui simposium berkenaan, para peserta juga berikrar untuk memupuk tabiat yang baik untuk lautan yang lebih bersih.
Ikrar berkenaan menandakan komitmen bersama untuk mengubah tingkah laku dan menggalakkan usaha serta kesedaran untuk mengurangkan sisa plastik dalam kalangan belia di rantau ini.
Penyertaan para pelajar NBD ke simposium berkenaan adalah selaras dengan komitmen Kementerian Pendidikan terhadap Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) Strategi 10: Kesedaran dan Pendidikan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]