Home > Bahasa Melayu
Hayati Ibadah Puasa, Panduan Dalam Kehidupan
March 20th, 2023 | 08:32 AM | 234 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Bulan Ramadan bukan sahaja dihidupkan dengan mengerjakan ibadah puasa dan bertadarus bahkan, mempelajari dan menghayati pengajaran yang terkandung di dalam ibadah puasa agar menjadi panduan dalam kehidupan seharian.
Antara pengajaran itu ialah mengamalkan keikhlasan, ketakwaan, menerapkan nilai bersederhana, memanfaatkan masa dan saling bantu-membantu.
Petikan tersebut antara initpati di dalam tazkirah bertajuk, 'Ihya' Ramadhan' bersempena menjelangnya Ramadan bulan penuh keberkatan yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Ugama, Ahli Sidang Redaksi, Urusetia Penerbitan Tafsir Mushaf Brunei Darussalam, Awang Haji Azmi bin Haji Akop secara dalam talian dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), bagi mengimarahkan Munajat di Ambang Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Ke-79.
Acara Munajat di Ambang Ramadan mengundang tetamu khas yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah iaitu Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dari Masjid Kampung Pengkalan Batu.
Juga hadir pada program tersebut, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir bagi sama-sama mengimarahkan program berkenaan, para pegawai, tenaga pengajar dan mahasiswa dari KUPU SB dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB); Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Pengkalan Batu serta jemaah daripada 101 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh negara dan juga warga KHEU berserta keluarga dari kediaman masing-masing.
Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh mahasiswa Tahun 2, Diploma 'Aliyah Qiraat ITQSHHB, Awang Muhammad Azib bin Muhammad Azim dari Musolla, institut berkenaan.
Diikuti Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran Ugama Kanan, Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Awang Haji Ayop bin Haji Ghani dari Masjid Kampung Pengkalan Batu.
Selepas tazkirah, bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh mahasiswa Sarjana Muda Perguruan Ugama, KUPU SB, Awang Mohammad Syafiq bin Mohammad Suhardie dari Masjid Kampung Pengkalan Batu.
Bagi memberkati acara, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pengiran Saiful Khairul Hakimin bin Pengiran Liudin dari Masjid Kampung Pengkalan Batu.
Malam Munajat mengajak orang ramai melipatgandakan amalan seharian dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar, semata-mata untuk memohon keampunan, perlindungan, rahmat dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.
Di samping itu, berdoa agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara dari sebarang musibah yang tidak diingini dan berjaya membendung penularan penyakit merbahaya seperti COVID-19.
Orang ramai sangat dialu-alukan untuk menyertai Malam Munajat dari mana jua mereka berada pada setiap Sabtu (malam Ahad) dengan melayari pautan 'http://tiny.cc/munajatkheu' atau melalui Instagram PDI '@pdi_kheu'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]