Home > Bahasa Melayu
Kukuhkan pengetahuan tentang bahaya dadah
Yang Dipertua BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd. Ali ketika berucap semasa Program Pendampingan Masyarakat (Community Outreach Programme). | Foto: Hezlinawati Haji Abdul Karim
April 11th, 2016 | 12:29 PM | 2068 views
TEMBURONG
Ahad, 10 April. - Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) terus komited berganding bahu membantu kerajaan membanteras isu-isu berkaitan dengan dadah dengan menjalankan kegiatan pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah di semua peringkat masyarakat.
Salah satu kegiatan yang dilakukan oleh persatuan anti dadah tersebut ialah dengan mengadakan Program Pendampingan Masyarakat (Community Outreach Programme), berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Utama Bumiputera Pekan Bangar, di sini.
Yang Dipertua BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd. Ali ketika berucap menjelaskan, pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah adalah satu cara yang amat berkesan dan kos efektif untuk mengukuhkan pengetahuan tentang bahaya dadah bagi segenap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu katanya lagi, pendidikan sedemikian perlu dikemas kini dari semasa ke semasa untuk memenuhi perkembangan dan keperluan semasa di peringkat negara dan kebangsaan.
Antara yang diselitkan dalam program ini ialah ceramah khas bertajuk 'Peranan Masyarakat Dalam Menangani Penyalahgunaan Dadah', disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Da'wah Islamiah, Awang Isham bin Ismail.
Ceramah beliau berkisar tentang kehidupan dalam bermasyarakat khususnya sebagai seorang Islam di mana Islam telah menggariskan umatnya mesti menjaga kesihatan termasuklah kesihatan dari segi akal fikiran, jangan sampai menjadi mangsa atau dibelenggu dengan dadah.
Perkara yang paling dipentingkan, ujarnya adalah untuk kembali semula kepada ajaran Islam yang sebenar, iaitu kembali semula kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Ceramah beliau juga menjelaskan tentang konsep tolong-menolong sesama masyarakat di mana setiap individu disaran agar tidak camah mata sebab Islam pun menggariskan panduan agar umatnya sentiasa bersilaturahim.
"Di dalam silaturahim itu kita ada menjaga hak orang lain, menjaga hak diri sendiri. Inilah kecantikan Islam yang bukan hanya menjaga diri sendiri tetapi ia melingkupi keseluruhan ummah samalah seperti membasmi penyalahgunaan dadah ini, bukan hanya tugas satu pihak tetapi semua pihak bertanggungjawab," katanya.
Program anjuran BASMIDA dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong dan Kampung Menengah ini dihadiri oleh golongan belia di daerah ini serta ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Menengah.
Dengan tema 'Kesejahteraan Masyarakat Tanggungjawab Bersama', program bertujuan untuk memberikan pendidikan pencegahan dadah bagi semua golongan masyarakat tentang ancaman risiko dan bahaya serta kesan penyalahgunaan dadah.
Selain itu, program juga adalah untuk mewujudkan kesedaran terhadap peranan setiap individu, ibu bapa, penjaga, para belia mengenai ancaman penyalahgunaan dadah dan risiko-risikonya, di samping untuk memberikan pengetahuan tentang penyalahgunaan dadah.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Hezlinawati Haji Abdul Karim
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]