Home > Bahasa Melayu
Program Little Caliph 4.0 Beri Bimbingan Fardu Ain
March 29th, 2023 | 07:06 AM | 110 views
GADONG
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) - Pelajar Sarjana Muda Usuluddin, dengan kerjasama Badan Pelajar Usuluddin (BadrU) sesi 2022/2023, melalui Fakulti Usuluddin, UNISSA mengadakan Program Little Caliph 4.0 bersama Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA), bertempat di Surau al-Syafi'i.
Program tersebut bertujuan sebagai salah satu platform untuk memberikan bimbingan Fardu Ain kepada kanak-kanak YASKA secara santai menerusi pelaksanaan aktiviti-aktiviti berbentuk teori dan praktikal.
Selain itu, program juga antara lainnya bertujuan untuk mendedahkan para mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Usuluddin kepada dakwah Islamiah secara praktik, dengan menggunakan konsep khidmat ilmiah.
Tambahan lagi, hal itu sekali gus dapat memberikan latihan kepada mereka untuk mengenal pasti teknik-teknik dakwah yang sesuai digunakan, apabila berhadapan dengan masyarakat dari pelbagai peringkat umur dan juga latar belakang.
Adapun antara aktiviti-aktiviti utama yang terkandung dalam program berkenaan ialah sesi penyampaian tazkirah pendek, sesi pemantapan fardu ain, dan sesi Explorace.
Ke semua aktiviti-aktiviti tersebut bertumpu untuk membimbing kanak-kanak tentang tatacara wuduk dan solat, memupuk adab dan akhlak yang dapat mereka amalkan dalam kehidupan seharian, serta membina jati diri mereka menjadi seorang Muslim yang sejati.
Kemudian pada penghujung program yang dilaksanakan pada 12 Mac 2023, Pemangku Pengerusi Program Little Caliph 4.0, Dayang Nur Shafiyah Huda binti Tajudeen memberikan sedikit ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para hadirin, diikuti dengan penyerahan cenderahati kepada pihak YASKA dan juga penyampaian hadiah kepada kanak-kanak yang hadir.
Sejurus itu, program dilanjutkan lagi dengan sesi bergambar ramai, dan setelah itu diakhiri dengan Doa Penutup Majlis.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]