Home > Bahasa Melayu
Kongsi Kegembiraan Bersama Komuniti Pusat Ehsan
April 1st, 2023 | 07:51 AM | 141 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sekolah Seri Mulia Sarjana (SMSS) melalui Supreme Student Council (SSC) bagi Seksyen Rendah dan Menengah menganjurkan Majlis Penyampaian Derma yang berlangsung di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), petang tadi.
Majlis sumbangan tersebut bertujuan untuk memberikan kegembiraan kepada komuniti Pusat Ehsan semasa bulan Ramadan yang mulia ini, di samping menanamkan nilai dermawan, ikatan kekeluargaan yang kukuh dan sifat saling mengasihi dalam kalangan pelajar.
Selain itu, majlis berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai para pelajar pusat tersebut, juga menggalakkan komunikasi dan silaturahim antara satu sama lain agar dapat menyemai kedamaian dan keharmonian antara semua pelajar tanpa mengira siapa mereka.
Seramai 80 pelajar Pusat Ehsan dan 26 anak yatim yang terdiri daripada pelajar SMSS menerima sumbangan pada majlis tersebut, yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas SMSS dan Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS).
Acara turut diselajurkan dengan Majlis Tahlil dan Doa Arwah bagi para guru dan kakitangan SMSS yang telah kembali ke rahmatullah, yang dianjurkan oleh Sarjana Education Group.
Melalui latihan dalam tanggungjawab sosial dan kepimpinan, SSC telah menggalakkan para pelajar membuat sumbangan derma untuk perkara berkebajikan berkenaan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]