Home > Bahasa Melayu
31 Anak Yatim Terima Sumbangan UNISSA
April 12th, 2023 | 07:21 AM | 103 views
GADONG
Nuzul Al-Quran merupakan detik peristiwa bersejarah dan penting untuk memperingati wahyu Al-Quran pertama kalinya diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Malaikat Jibril Alaihissalam, yang terjadi di dalam bulan Sayyidus-syuhur (ketua segala bulan) iaitu bulan Ramadan.
Pensyarah Fakulti Bahasa Arab, Dr. Zulamali @Abdul Aziz bin Begawan Pehin Khatib Haji Matassan dalam tazkirahnya menjelaskan, keistimewaan bulan Ramadan antaranya ialah dalam bulan ini Allah Subhanahu Wata'ala menurunkn ayat pertama Al-Quran. Kita dianjurkan untuk menghidupkan bulan ini dengan memperbanyak membaca Al-Quran.
Pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Penutup Tadarus, Iftar Jama'ie (Berbuka Puasa) dan Penyampaian Derma Anak Yatim Warga Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bertempat di Surau Al-Syafi'i, UNISSA, di sini, Dr. Zulamali seterusnya menjelaskan, dalam bulan Ramadan, terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan yang disebut malam Lailatulqadar.
Kemudian, Ramadan merupakan bulan istimewa kerana kebaikan-kebaikan yang dikerjakan bulan Ramadan nilainya berlipat ganda.
“Kalau kita kaji semula tentang peristiwa ini, banyak pelajaran dan 'ibrah yang dapat dipetik adalah agar ketakwaan kita semakin kuat dan keyakinan kita semakin teguh terhadap kitab suci Al-Quran yang isinya memberi petunjuk bagi umat manusia serta pembela di antara perkara yang hak dan batil.
“Adapun ayat Al-Quran yang pertama kali diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah surah Al-'Alaq, ayat 1 sampai 5. Al-Quran diturunkan ke bumi tidak sekali gus tetapi beransur-ansur, sedikit demi sedikit, bertahap, sesuai dengan situasi dan kondisi yang dihadapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam," katanya.
Tazkirah Khas bertemakan, 'Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian dengan Petunjuk Al-Quran' menyatakan, Islam sebagai 'Agama Rahmatan lil 'alamin', dan bukanlah agama yang sempit, menolak material, atau membiarkan umatnya meraba-meraba mencari pedoman hidup.
Islam katanya, sebagai 'ad-Din' adalah cara hidup yang mengenalkan kita hakikat kehidupan dunia ini adalah sementara. Dunia ini penuh fatamorgana yang menyeronokkan lagi mengasyikkan, sedangkan kehidupan abadi adalah akhirat al-khalidah yang sedang menanti.
Visi dan misi kenabian tambahnya adalah jelas, dengan petunjuk wahyu ia adalah untuk menyelamatkan manusia dari kegelapan dan kesesatan yang nyata.
Penurunan wahyu Al-Quran berfungsi sebagai pemerkasaan akal dan akhlak. Wahyu pertama ini jelas menyanggah cara berfikir yang karut, yang diamalkan oleh kaumnya.
“Ia menyedarkan minda yang sedang dibelenggu kebodohan. Iaitu cara fikir yang hanya mengikut kepercayaan orang terdahulu tanpa sebarang rasional yang konkrit terhadap amalan dan kepercayaan itu. Antara yang diterangkan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bagi membetulkan cara mereka berfikir ialah dengan memahamkan erti sebenar penciptaan.
“Wahyu pertama ini jelas menunjukkan mengenai objektif utama dakwah Rasulullah iaitu untuk mengilmukan masyarakat. Ilmu itu dimulakan dengan merangsang akal mereka supaya menyedari dan memahami hakikat sebenar terhadap konsep bertuhan," jelasnya lagi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Turut hadir, penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa/i yang menerap di Kolej Kediaman UNISSA.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan kemudian diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran.
Acara diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada seramai 31 anak yatim warga UNISSA. Majlis diakhiri dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dan iftar jama'ie (berbuka puasa).
Majlis ini adalah kesinambungan daripada Majlis Tadarus Al-Quran yang berjalan sepanjang bulan Ramadan selepas menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur yang melibatkan tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa / i UNISSA.
Ia bertujuan untuk memberi dorongan kepada warga UNISSA untuk melazimkan pembacaan Al-Quran di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama warga UNISSA.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]