Home > Bahasa Melayu
PPPBD Berkongsi Rezeki
April 14th, 2023 | 12:28 PM | 143 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dalam berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan sekali gus meraih keberkatan bulan Ramadan Al-Mubarak ini, Projek Titian Kasih Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) dihasratkan akan dapat membantu masyarakat yang memerlukan bantuan lebih-lebih lagi menjelang bulan Syawal yang bakal tiba.
Selain bagi mempromosi dan memupuk budaya 'guna semula' barangan terpakai yang masih dalam keadaan baik dan sempurna, projek berkenaan juga bertujuan bagi mendedahkan para ahli kepada budaya berkhidmat untuk masyarakat, terutamanya kepada yang memerlukan bantuan serta sumbangan.
Pada masa yang sama, ia juga bagi memupuk dan memantapkan sifat-sifat jati diri, disiplin dan semangat kerja berpasukan melalui projek juga aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan persatuan serta dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dan meningkatkan perasaan muhibah dalam kalangan para ahli persatuan.
Mengambil tempat di Ibu Pejabat PPPBD, Anggerek Desa, Berakas, di sini, kegiatan pembahagian sumbangan amal pakaian terpakai berkenaan kepada golongan yang kurang berkemampuan merupakan salah satu daripada rangkaian kegiatan kemasyarakatan di bawah Projek Titian Kasih PPPBD yang diusahakan bersempena dengan kehadiran bulan Syawal yang bakal menjelma.
Melalui kegiatan berkenaan, para ahli persatuan mengumpul dan menyumbang pakaian terpakai yang masih dalam keadaan elok kepada golongan yang kurang berkemampuan termasuk yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]