Home > Bahasa Melayu
SHENA Agih Juadah Penyungkaian Kepada Pekerja Binaan Sempena Bulan Ramadan
April 19th, 2023 | 06:40 AM | 114 views
BERAKAS
Bagi memperingati Hari Keselamatan dan Kesihatan Sedunia di Tempat Kerja 2023 dan bersempena bulan suci Ramadan, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) baru-baru ini mengagihkan pek juadah penyungkaian kepada lebih 150 pekerja binaan di pelbagai tapak kerja di kawasan Berakas.
Semasa penyerahan juadah penyungkaian, SHENA mengingatkan ketua-ketua, majikan, penghuni, pekerja dan individu yang bekerja sendiri supaya lebih peka terhadap amalan keselamatan sewaktu bulan Ramadan.
Bekerja ketika berpuasa boleh menyebabkan keletihan, kehilangan fokus atau konsentrasi dan kepenatan dengan pantas, yang boleh meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja. Pada masa yang sama, pekerja dan individu yang bekerja di luar juga terdedah kepada tekanan haba.
Untuk mengurangkan risiko-risiko ini, SHENA menggalakkan organisasi masing-masing untuk memperkenalkan langkah-langkah berjaga-jaga dan melaksanakan kawalan keselamatan yang bersesuaian.
Sebagai bimbingan, satu notis keselamatan dan kesihatan bertajuk 'Langkah-langkah keselamatan untuk diambil semasa bulan Ramadhan' (Safety precautions to be taken during the fasting month of Ramadan - 2021/WSN/02) boleh dijadikan sebagai rujukan dan boleh didapati di laman sesawang SHENA 'www.shena.gov.bn' di bawah Bahagian Penerbitan (Publication section).
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]