Home > Bahasa Melayu
Berangkat Tinggalkan Labuan Bajo, Republik Indonesia
May 12th, 2023 | 11:05 AM | 162 views
LABUAN BAJO, REPUBLIK INDONESIA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bertolak meninggalkan Labuan Bajo, Republik Indonesia setelah selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42, hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Hadir di Lapangan Terbang Komodo-Labuan Bajo bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Yang Terhormat Dr. Ir. Mochamad Basuki Hadimuljono.
Juga hadir ialah Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Indonesia, Dayang Yuhanizah binti Dato Paduka Dr. Haji Ismail.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan para Pemimpin ASEAN, antara lainnya, mengalu-alukan penglibatan Republik Demokratik Timor-Leste dalam Sidang Kemuncak ASEAN buat pertama kalinya sebagai Negara Pemerhati.
Para Pemimpin ASEAN telah berbincang mengenai perkembangan dalam usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN, serta pelaksanaan Five-Point Consensus dan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific.
Perbincangan juga tertumpu kepada kepentingan dalam mempertahankan perpaduan ASEAN bagi memastikan ASEAN terus menjadi pusat pertumbuhan dan wadah yang relevan untuk dialog dan kerjasama ke arah keamanan dan kemakmuran bersama.
Pada atur cara sampingan sidang kemuncak tersebut, Kebawah DYMM juga berangkat menghadiri Perjumpaaan-Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chính; Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Taur Matan Ruak.
Perjumpaan-perjumpaan tersebut menyentuh mengenai peningkatan kerjasama dalam bidang-bidang berkepentingan bersama serta penerokaan peluang-peluang dalam bidang-bidang kerjasama yang baharu, ke arah meningkatkan lagi persahabatan di antara Negara Brunei Darussalam dan negara-negara jiran.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]