Home > Bahasa Melayu
Memelihara, Mempertahankan Perpaduan ASEAN
May 12th, 2023 | 11:14 AM | 218 views
LABUAN BAJO, REPUBLIK INDONESIA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 yang berlangsung di Komodo Ballroom, Meruorah Komodo Convention Center, hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Pada sesi tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertitah dan menekankan, persaingan kuasa-kuasa utama yang kian memburuk termasuk di rantau Asia Pasifik, antara lainnya telah mengakibatkan gangguan rangkaian pembekalan global, ketidaktentuan ekonomi, peningkatan blok 'minilateral' dan peralihan perikatan strategik.
Oleh itu, titah baginda, ASEAN perlu memelihara dan mempertahankan perpaduan ASEAN bagi memastikan ASEAN kekal relevan sebagai satu wadah untuk berdialog secara membina.
Ke arah ini, baginda percaya bahawa ASEAN perlu tekun berusaha untuk melaksanakan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific bagi memastikan ASEAN kekal sebagai wadah untuk berdialog dan bekerjasama ke arah kemajuan, keamanan dan kemakmuran.
Menyentuh mengenai situasi di Myanmar, titah baginda, penyelesaian masalah di negara berkenaan adalah di tangan rakyat negara tersebut melalui proses yang dipimpin dan dimiliki oleh Myanmar.
Oleh itu, ASEAN perlu untuk terus memudahcarakan persekitaran yang kondusif bagi proses perdamaian.
Pada mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mencadangkan ASEAN perlu mempertimbangkan untuk berbincang bersama Myanmar dalam masa terdekat bagi menekankan kebimbangan terhadap pelaksanaan Five-Point Consensus, yang telah dipersetujui oleh para Pemimpin ASEAN pada tahun 2021.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]