Home > Sports
Brunei DPMM FC, Lion City Sailors Kongsi Mata
May 14th, 2023 | 07:32 AM | 265 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Pemain harapan Brunei DPMM FC, Andrey Varankow berjaya meraih hatrik di musim perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) menentang Lion City Sailors (LCS) 3 - 3 yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Republik Singapura, lewat petang tadi.
Gol pertama Andrey Varankow dijaringkan pada awal minit ke-4 perlawanan yang mana pasukan lawan agak sedikit cuai seolah-olah memberi peluang kepada pemain lincah itu untuk beraksi.
LCS bangkit dan berjaya mengubah kedudukan 1 - 1 pada minit ke-15 melalui jaringan Diego Lopes, pemain dari Brazil.
Selang empat minit kemudian, LCS menjaringkan gol keduanya melalui sepakan pemain dari Belgium, Maxime Lestienne menjadikan Brunei DPMM FC agak sedikit gentar.
Walau bagaimanapun, Brunei DPMM FC semakin bersemangat untuk terus menyerang LCS sekali gus mencari peluang membuat jaringan untuk kedua kalinya pada minit ke-29 oleh Andrey Varankow.
Di saat-saat akhir separuh masa pertama, Maxime Lestienne sekali lagi membolosi gawang Brunei DPMM FC iaitu pada minit ke-45 menjadikan kedudukan 2 - 3.
DPMM FC di separuh masa kedua terus berusaha untuk menggasak gawang pasukan lawan sehingga berjaya menjaringkan gol ketiga hasil sepakan Andrey Varankow pada minit terakhir iaitu minit ke-89.
Dengan lima minit tambahan masa, kedua-dua pasukan terus bertahan dan keputusan sehingga ke wisel penamat adalah seri 3 - 3.
Seterusnya Brunei DPMM FC akan berentap bertemu Balestier Khalsa pada 20 Mei depan di Stadium Bishan pada jam 6.00 petang.
Brunei DPMM FC kekal berada di tangga keenam dengan 11 mata dan tangga pertama dikuasai oleh Albirex Niigata Singapore FC dengan 24 mata.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]