Home > Bahasa Melayu
Jalin Silaturahim Melalui Sambutan Hari Raya
May 14th, 2023 | 07:57 AM | 88 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dalam berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan pada bulan Syawal, warga penduduk peringkat Zon 3 dari Mukim Kota Batu, Mukim Mentiri dan Mukim Serasa juga tidak ketinggalan meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Doa Kesyukuran, malam tadi.
Majlis bertujuan bagi memupuk kesedaran dan kerjasama yang tinggi di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara Penghulu, Ketua-ketua Kampung dan Pemangku Ketua Kampung bagi Zon 3.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat yang juga selaku Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh dan Ketua Kampung Subok.
Turut hadir di majlis berkenaan, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan yang juga selaku Ketua Kampung Belimbing serta isteri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan bertukar cenderamata antara Pemangku Penghulu, Ketua Kampung dan Pemangku Ketua Kampung.
Majlis yang merupakan julung kalinya diadakan berkenaan mengambil tempat di Dewan Koperasi Peladang Kampung Tanah Jambu, di sini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]