Home > Bahasa Melayu
Bersama Menangani Isu Maritim Serantau
May 15th, 2023 | 07:26 AM | 96 views
PHILIPPINES
ASEAN Navy Chiefs' Meeting (ANCM) Ke-17 yang berlangsung pada 8 hingga 12 Mei 2023 di Manila, Republik Filipina telah dihoskan oleh Tentera Laut Filipina (TLF) dan dihadiri oleh pemerintah-pemerintah angkatan laut dan perwakilan dari semua negeri ASEAN.
Sejajar dengan ANCM Ke-17, TLF juga menganjur Maritime Security Symposium 2023 dan ASEAN Fleet Review (AFR).
Mengetuai rombongan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) adalah Pemangku Pemerintah TLDB, Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin bersama dua pegawai turus iaitu Timbalan Pegawai Turus Perisikan, Leftenan Komander Najihah binti Haji Hisab, TLDB dan Penolong Pegawai Turus Perhubungan Luar Tentera Atase Pertahanan, Leftenan Madya Warhamni binti Bohari, TLDB.
Maritime Security Symposium (MSS) 2023 pada 9 Mei 2023 mengetengahkan tema, 'ASEAN at the Forefront : Emphasizing ASEAN's Perspective, Highlighting its Strength'.
Hadir untuk menyampaikan ucaptama adalah The Officer-in-Charge at the Department of National Defense, Senior Undersecretary Carlito G. Galvez Jr.
Simposium tersebut menampilkan dua panel di mana panel pertama membincangkan, 'The Southeast Asian Region : A Theatre of Converging Challenges' dan panel kedua memfokuskan kepada, 'The ASEAN Perspective : Upholding ASEAN Centrality, Highlighting Cooperation'.
Plenari ANCM Ke-17 yang bermula pada 10 Mei 2023 dimulakan dengan kata-kata aluan yang disampaikan oleh Flag Officer in Command, (TLF), Laksamana Muda Toribio Adachi Jr. di mana beliau menekankan peranan penting ANCM dalam menyatukan kesemua Tentera Laut ASEAN dalam menangani isu maritim serantau dan untuk meneruskan kerjasama agar 'interoperability' sentiasa dipertingkatkan dan mencapai tindakan paduan yang lebih berkesan di laut.
Salah satu agenda utama ialah pertukaran sudut pandangan di mana semua pemerintah Angkatan Laut ASEAN berkongsi perspektif mereka mengenai tema ANCM pada tahun ini, iaitu 'Synergy at Sea : Regional Cohesion for Peace and Stability'.
Agenda mesyuarat tersebut melibatkan perkongsian maklumat dan pengemaskinian mengenai aktiviti-aktiviti ANCM pada masa depan iaitu Multilateral Naval Exercise Komodo Ke-2 pada 4 hingga 8 Jun 2023, anjuran Tentara Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL) dan ASEAN Navy Training Experience Exchange Program (ANTEEP) Ke-2 pada bulan November 2023, anjuran TLDB.
Plenari ANCM juga turut menyaksikan kelulusan Minit Mesyuarat ANCM Ke-16, ANCM Road Map 2024 – 2032 dan ASEAN Guidelines of Maritime Interaction (GMI). Dalam masa yang sama, AFR telah diadakan di perairan Subic Bay pada 11 Mei 2023. Tetamu kehormat semasa acara tersebut adalah Officer-in-Charge at the Department of National Defense.
AFR tersebut melibatkan KDB Daruttaqwa dan KDB Afiat dari TLDB, BRP Antonio Luna dan BRP Andres Bonifacio dari TLF, RSS Supreme dari Tentera Laut Republik Singapura, KRI I Gusti Ngurah Rai dari Tentara Nasional Indonesia - Angkatan Laut, KD Lekiu dari Tentera Laut Diraja Malaysia, HTMS Pattani dari Tentera Laut Diraja Thai, VPNS Tran Hung Dao dari Tentera Laut Rakyat Viet Nam serta BRP Davao del Sur sebagai 'reviewing ship' bagi AFR tersebut.
AFR merupakan permulaan kepada perlaksanaan ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX) Ke-2.
Pemangku Pemerintah TLDB juga berkesempatan untuk mengadakan perjumpaan dua hala dengan Pemerintah Angkatan Laut dari Tentera Laut Filipina (TLF), Tentera Laut Rakyat Vietnam (TLRV), Tentara Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI-AL), Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) serta perwakilan dari Tentera Darat Rakyat Laos (TDRL) dan Tentera Laut Diraja Kemboja (TLDK).
ANCM Ke-18 akan dihoskan oleh Tentera Laut Myanmar pada tahun 2024.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]