Home > Bahasa Melayu
Produk Makanan Diarah Untuk Diasingkan
May 24th, 2023 | 07:29 AM | 58 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Berikutan aduan orang ramai, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal telah mengadakan pemeriksaan bagi Chicken Spread Jenama Lady's Choice.
Hasil penelitian yang dibuat, dimaklumkan produk makanan tersebut dan semua produk lain yang mengandungi daging (termasuk ikan) adalah tidak halal sebagaimana yang telah disahkan oleh syarikat pengedar Lady's Choice Philippines melalui laman sesawangnya dalam Frequently Asked Questions (FAQs).
Oleh itu, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, telah pun mengarahkan pemilik premis untuk mengasingkan semua produk tersebut dengan serta merta di tempat atau ruang 'Non Halal Section' yang tidak terdedah dari penjualan awam.
Semua pengimport, pasar raya dan kedai di negara ini juga dinasihatkan supaya melakukan tindakan pengasingan dengan serta-merta jika terdapat produk yang sama diedarkan dan dijual di premis masing-masing.
Sehubungan itu, KHEU juga ingin mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal tidak bercampur dengan yang tidak halal.
Ini demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini dari terjebak mengambil dan memakan produk yang tidak halal atau diragui kehalalannya.
Di samping itu, KHEU mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas maklumat berhubung perkara tersebut.
Bagi orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan menghubungi talian 'hotline' +673 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]