Home > Bahasa Melayu
Delegasi PMCAF Tinjau Teknik Pengajaran Penerima Anugerah
May 24th, 2023 | 07:45 AM | 84 views
TUTONG
Rombongan delegasi Yayasan Anugerah Puteri Maha Chakri (PMCAF) dari Thailand yang diketuai oleh Pengerusi Yayasan Princess Maha Chakri Award, Dr. Krissanapong Kirtikara, hari ini, mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang.
Rombongan delegasi tersebut dialu-alukan oleh Pengarah Jabatan Sekolah-Sekolah, Dayang Marina Chek binti Bujang dan Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Hazibah binti Haji Abd. Manan serta tenaga pengajar, Awang Mohamad Amir Irwan bin Haji Moksin, yang juga penerima Anugerah Puteri Maha Chakri (PMCA) Ke-5, Tahun 2023.
Lawatan tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat mengenai sekolah berkenaan yang disampaikan oleh Dayang Hazibah dan sesi perkongsian yang disampaikan oleh Awang Mohamad Amir Irwan, diikuti dengan Lesson Observation dan pameran perjalanan kerjaya beliau.
Antara tujuan lawatan tersebut diadakan adalah untuk membuat perjumpaan dan tinjauan pengajaran yang dipraktikkan oleh penerima anugerah yang merupakan ciri-ciri utama untuk dijadikan asas dalam pemilihannya. Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Pegawai-pegawai Kanan dari Kementerian Pendidikan.
Rombongan delegasi PMCAF mengadakan sesi lawatan ke Negara Brunei Darussalam selama empat hari bermula 21 hingga 24 Mei 2023 di mana rombongan tersebut juga mengadakan kunjungan hormat bersama Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Rombongan delegasi juga akan berkesempatan membuat lawatan ke sekolah dan institusi tempat bertugas para penerima PMCA di negara ini bagi tahun-tahun sebelumnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]