Home > Bahasa Melayu
Pupuk Kesedaran Pemanduan Berhemah
May 29th, 2023 | 08:07 AM | 56 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Para pengguna jalan raya mestilah memupuk rasa kesedaran supaya agar sentiasa beringat dan berhati-hati di jalan raya serta mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
Sehubungan itu, Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA) hari ini menganjurkan Kesedaran Keselamatan Bermotosikal bertempat di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di ibu negara.
Acara yang berlangsung selama sehari itu dibukakan kepada orang ramai terutama sekali para penunggang motosikal di negara ini dan para pengunjung dapat mendengarkan taklimat ringkas dan demonstrasi mengenai tatacara menunggang motosikal dengan betul dan selamat.
Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad semasa ditemu bual antara lain menerangkan acara seumpamanya adalah pertama kali diadakan yang dibukakan secara terbuka untuk para pengunjung yang ingin tahu dengan lebih terperinci lagi perkara yang berkaitan dengan asas keselamatan bermotosikal.
Katanya, acara juga bertujuan untuk menyahut seruan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan bermotosikal di negara ini.
Secara tidak langsung tambahnya, acara yang berkebajikan itu turut memeriahkan suasana di kompleks tersebut di samping menyokong para pengusaha tempatan yang berniaga di sana.
Acara disokong oleh Kompleks YSHHB bersama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]