Home > Bahasa Melayu
NBD Lahirkan Lebih Ramai Generasi Celik Al-Quran
June 23rd, 2023 | 09:56 AM | 101 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Bagi menyahut dan menanai hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan lebih ramai generasi celik Al-Quran di negara ini, seramai 43 murid Darjah VI Tahun 1444H / 2023M dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, pagi tadi.
Para peserta terdiri daripada 28 murid lelaki dan 15 murid perempuan yang berjaya khatam bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.
Majlis khatam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis.
Kemudian, disusuli dengan bacaan Surah Ad-Dhuha sehingga Surah Al-Masad oleh para peserta khatam, dan diikuti dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid Darjah IV dan V.
Majlis turut diserikan lagi dengan Dikir Marhaban yang diselajurkan dengan acara merenjis minyak wangi dan penyampaian sijil kepada para peserta khatam oleh tetamu kehormat majlis.
Manakala, Doa Khatam dibacakan oleh pelajar Darjah VI dari sekolah berkenaan, Awang Muhd Rizqy Shafi bin Haji Mohd Faiezal.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pengiran Kamalarifin bin Pengiran Haji Ali.
Di samping menggalakkan murid-murid mencintai Al-Quran dengan sentiasa membacanya dengan betul dan lancar, acara berkenaan juga bertujuan untuk memastikan murid-murid berjaya mengkhatamkan Al-Quran sebelum mereka menamatkan Darjah VI persekolahan ugama.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]