Home > Bahasa Melayu
Lebih 1,000 Sertai Walkaton Amal IBTE
June 25th, 2023 | 12:28 PM | 79 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) pagi tadi mengadakan walkaton amal di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas sempena pelancaran IBTE Donation Drive.
Acara walkaton amal tersebut disertai kira-kira 2,500 orang yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar IBTE dari kesemua tujuh kampus, iaitu IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, IBTE Kampus Jefri Bolkiah, IBTE Kampus Sultan Bolkiah, IBTE Kampus Nakhoda Ragam, IBTE Kampus Mekanikal, IBTE Kampus Bisnes, IBTE Kampus AgroTechnology, dan Ibu Pejabat IBTE.
Hadir ke acara tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, selaku tetamu kehormat majlis.
Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Awang Shahrul Anuar bin Haji Minudin dari IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, diikuti sesi pemanasan badan yang diketuai oleh guru-guru dalam latihan Akademi TVET daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei.
Perlepasan untuk walkaton tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
IBTE Donation Drive telah diadakan pada Mac dan April 2023, dan sebanyak 70 peratus daripada jumlah wang yang dikumpul akan digunakan untuk menyokong lagi pengalaman pengajaran dan pembelajaran pelajar IBTE, serta meningkatkan kebajikan pelajar.
Sementara itu, sebanyak 30 peratus daripada sumbangan itu akan didermakan bagi membantu membiayai dua inisiatif pendidikan khas pertubuhan bukan kerajaan, iaitu Learning Ladder Society dan An-Nur Harapan, yang mana penyerahan akan diumumkan nanti.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]