Home > In The Court
Dihukum Penjara Akibat Penyalahgunaan Dadah
July 14th, 2023 | 13:03 PM | 1713 views
BELAIT
Seorang lelaki warga tempatan mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman empat tahun dan 10 minggu penjara atas lapan pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.
Hukuman bermula hari ini dan dijatuhkan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid, di Mahkamah Majistret Belait, di sini.
Fabian Alam anak Luta, berumur 39 tahun didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 dan di bawah Peraturan 12(2)(a) akta yang sama.
Defendan didakwa memakan dadah terkawal Kelas A, Methylamphetamine di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 bagi pertuduhan pertama, kedua dan kelapan setelah dibawa bagi menjalani ujian air kencing dan hasil ujian air kencing berkenaan mendapati positif dadah terkawal Kelas 'A', Methylamphetamine.
Bagi pertuduhan ketiga, keempat, kelima, keenam dan ketujuh di bawah Peraturan 12(2)(a) akta yang sama, defendan juga gagal melaporkan diri sebanyak lima kali kepada Pegawai Pengawasan Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam tempoh jadual yang ditetapkan.
Defendan ditangkap dalam serbuan yang dijalankan oleh para pegawai BKN pada 19 Disember 2022, kira-kira jam 7.55 malam di kawasan Jalan Derma Wangsa, Kampung Mumong Kuala Belait.
Dalam rekod, defendan juga mempunyai kesalahan yang lalu di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Abdul Wafi bin Haji Husain.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]