Home > Sports
Panchor Murai FC, BSRC FC Kongsi Mata
August 12th, 2023 | 08:43 AM | 3921 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Panchor Murai FC bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat BSRC FC 2 - 2 dalam aksi Liga Belia Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) Bawah 15 Tahun (U15) 2023.
Pada perlawanan yang berlangsung di Padang 'A', FABD, BSRC FC lebih awal mendahului perlawanan apabila sepakan Faris Ar-Rayyan Yahya berjaya membolosi gawang Panchor Murai FC pada minit ke-2 menjadikan kedudukan 0 - 1.
Meskipun kedua-dua pasukan berusaha untuk membolosi gawang pasukan lawan, namun kedudukan Panchor Murai FC 0 - 1 BSRC FC kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan pasukan Panchor Murai FC lebih menguasai perlawanan sehingga membuahkan hasil apabila sepakan Haziq Asnawi berjaya menggegarkan gawang pasukan lawan pada minit ke-45 sekali gus menyamakan kedudukan jaringan 1 - 1.
Namun, selang dua minit kemudian gawang Panchor Murai FC ditembusi sekali lagi melalui sepakan pemain BSRC FC, Rizqi Aiman Zul Alfi menjadikan mata jaringan 1 - 2.
Dalam pertembungan itu, Syariful Ikhwan muncul wira buat Panchor Murai FC selepas menjaringkan gol pada masa kecederaan menjadikan kedudukan jaringan 2 - 2, sekali gus berkongsi mata bersama BSRC FC.
Dengan keputusan tersebut, BSRC FC kini naik satu tangga di tempat kedua dengan kutipan 9 mata, manakala Panchor Murai naik tangga kelima dengan kutipan 7 mata.
Sementara itu pada perlawanan yang berlangsung di Arena Sports Complex, Seria, PBDB menewaskan TAFA 2 - 0, manakala AKSE Bersatu tewas kepada Indera SC 0 - 4.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]