Home > Sports
Taring DPMM FC Mula Berbisa
August 13th, 2023 | 11:50 AM | 3905 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Brunei DPMM FC meraih tiga mata penuh setelah mengecewakan Young Lions, 2-0 pada perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) 2023 yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.
Nazirrudin Ismail muncul wira bagi pasukan Brunei DPMM FC setelah menghadiahkan kedua-dua gol pada perlawanan tersebut.
Young Lions di bawah kendalian Nazri Nasir selaku Ketua Jurulatih, dilihat lebih menguasai perlawanan pada babak pertama dengan puluhan peluang untuk melakar jaringan namun sepakan-sepakan berkenaan jelas tersasar.
Gawang penjaga gol Brunei DPMM FC, Kristijan Naumovski sering diuji jentera serangan Young Lions yang diketuai Harhys Stewart.
Kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk gol pembukaan namun terpaksa akur apabila terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung di babak kedua, Brunei DPMM FC di bawah kendalian Adrian Pennock memperkemaskan permainan dan mula menghadirkan beberapa peluang sehinggalah gol pertama tercipta pada minit ke-67' apabila sepakan Naziruddin Ismail gagal didakap kemas oleh penjaga gawang Young Lions.
Ketinggalan 0-1, Young Lions terus melancarkan serangan dan mencari peluang untuk menyamakan kedudukan namun benteng pertahanan Brunei DPMM FC gagal dibolosi.
Skuad Brunei DPMM FC bernasib baik apabila jaringan Young Lions diminit ke-56' tidak dikira apabila penjaga garisan mengangkat bendera 'offside'.
Brunei DPMM FC menambah keresahan Young Lions apabila Nazirrudin Ismail berjaya menjaring gol kedua pasukannya pada empat minit masa tambahan dan keputusan kekal 2-0 hingga wisel penamat dibunyikan.
Dengan keputusan tersebut, Brunei DPMM FC kembali naik ke tangga ke-7 liga dengan mengumpul 21 mata mengatasi Tanjong Pagar United FC dan Young Lions daripada 22 perlawanan.
Sementara itu, pada perlawanan di Our Tampines Hub, Balestier Khalsa FC menundukkan Geylang International FC dengan jaringan 6-2.
Dengan hanya berbaki dua lagi perlawanan, Brunei DPMM FC akan bertemu dengan Tampines Rovers FC pada 18 Ogos ini bertempat Our Tampines Hub dan menentang Tanjong Pagar United pada 15 September depan di Jurong East Stadium.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]