Home > Sports
DPMM FC, Tampines Rovers Kongsi Mata
August 19th, 2023 | 07:22 AM | 5069 views
REPUBLIK SINGAPURA
DPMM FC masih mengekalkan kedudukannya meskipun mencatat keputusan seri 2- 2 dalam perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) menentang Tampines Rovers yang berlangsung di Town Square, Our Tampines Hub, Republik Singapura, malam tadi.
Babak pertama perlawanan menyaksikan Tampines Rovers bergerak aktif dari awal permainan dan cuba untuk menjaringkan gol tetapi gagal kerana berjaya dihalang oleh penjaga gol DPMM FC.
Pemain lincah Tampines Rovers, Boris Kopitovic kemudian berhasil menjaringkan gol pertama buat pasukannya pada minit ke-19.
Pada separuh masa kedua, pemain import DPMM FC dari Croatia, Josip Balic beraksi dengan hebat sehingga berjaya menyamakan kedudukan 1 - 1 pada minit ke-56.
Namun, Tampines Rovers berhasil mengubah kedudukan 2 - 1 pada minit ke-71 melalui jaringan Saifullah Akbar, pemain tengah pasukan berkenaan.
Selang empat minit kemudian, iaitu pada minit ke-74, DPMM FC berjaya menjaringkan gol keduanya melalui sepakan Nazirrudin Ismail menjadikan pasukan lawan agak sedikit gentar.
Meskipun kedua-dua pasukan berusaha untuk membolosi gawang pasukan lawan namun kedudukan kekal seri 2-2 sehingga tamat separuh masa kedua.
Seterusnya, DPMM FC akan berentap bertemu Balestier Khalsa pada 15 September depan di Stadium Jurong East pada jam 7.45 malam.
DPMM FC kekal berada di tangga ketujuh dengan kutipan 22 mata dan tangga pertama dikuasai oleh Albirex Niigata Singapore FC dengan kutipan 56 mata.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]