Home > Bahasa Melayu
Menyemai Jiwa Bagi Wujudkan Rasa Bertanggungjawab Belia
PEMANGKU Pengarah Belia dan Sukan, Awang Zafri bin Haji Mohamed menyampaikan sijil kepada seorang wakil peserta dari Program Pertukaran Belia Daerah bertempat di Perkampungan Sukan. |FOTO : PELITA BRUNEI ( Hernie Suliana Haji Othman )
November 5th, 2016 | 10:14 AM | 1713 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Jumaat, 4 November. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Bahagian Perkembangan Belia dan Sukan Daerah-Daerah, Jabatan Belia dan Sukan buat pertama kalinya menganjurkan Program Pertukaran Belia Daerah bagi memeriahkan lagi sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-11, Tahun 2016 bertempat di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Seramai 63 belia yang terlibat, terdiri daripada belia-belia dari keempat-empat daerah yang berumur antara 15 hingga 25 tahun.
Peserta-peserta yang menyertai program tiga hari dua malam itu adalah dari Daerah Brunei Muara seramai 16 orang, Daerah Belait seramai 15 orang, Daerah Temburong seramai 25 orang dan Daerah Tutong seramai tujuh orang.
Antara tujuan program diadakan adalah untuk menyatupadukan keempat-empat daerah yang terdiri dari pelbagai latar belakang kehidupan bagi sama-sama memeriahkan dan mendokong Sambutan Hari Belia dan juga membantu serta menyemai jiwa belia agar wujudnya rasa bertanggungjawab supaya dapat melahirkan belia-belia yang berdaya saing dan mampu berfikir secara sihat dan positif.
PESERTA Program Pertukaran Belia Daerah 2016 yang melibatkan belia-belia dari keempat-empat daerah bergambar ramai bersama Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Zafri bin Haji Mohamed.
Program dimuatkan dengan pelbagai aturcara dan aktiviti seperti taklimat khas mengenai Pusat Autism SMARTER Brunei yang disampaikan oleh Presiden SMARTER, Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman.
Para peserta juga dibawa menyertai Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-11, Tahun 2016 di Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku Katok bagi menunaikan solat berjemaah Maghrib dan Isyak serta bacaan Surah Yaa Siin.
Selain itu, para peserta program turut menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-11 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas kelmarin.
Antara lain pengisian aktiviti yang dijadualkan ialah, Menunaikan Solat-Solat Fardu di Masjid-Masjid Berlainan, Aktiviti Projek Berkumpulan, Kempen Kebersihan di Masjid Kampung Pulaie, Aktiviti 'Jalinan Kasih' dengan membuat lawatan ke Pusat KACA Brunei dan Pusat Autism SMARTER Brunei dan berpeluang berinteraksi bersama insan-insan istimewa di pusat-pusat berkenaan.
Para peserta juga mendengar ceramah bertajuk 'Transformasi Belia dalam Islam' yang disampaikan oleh Ustazah Pengiran Norhayati bin Pengiran Haji Kasharan dan Kuliah Subuh bertajuk 'Mengenali Diri sebagai Belia Islam' yang disampaikan oleh Ustaz Drs. Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah di Masjid Ash Shaliheen.
Antara yang hadir semasa Kuliah Subuh ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Program diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta program bertempat di Dewan Kuliah, Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian sijil ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Zafri bin Haji Mohamed.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]