Home > Bahasa Melayu
Program Souq Tani Ketengahkan Produk Pertanian
August 26th, 2023 | 07:51 AM | 68 views
TUTONG
Program ekspo dan keusahawanan Souq Tani berlangsung selama empat hari bermula 22 hingga 25 Ogos 2023 sempena Mahrajan Hafl At-Takharruj Ke-13, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Program yang diadakan di Dewan Serbaguna Al-Rayyan, Kampus Sinaut, Tutong, UNISSA disertai oleh seramai 30 pengusaha-pengusaha tempatan dari sektor pertanian, perikanan, agrimakanan serta dari sektor makanan dan minuman.
Antara pengusaha-pengusaha yang terlibat adalah Ghanim International Corporation Sdn. Bhd.; InnovAero Sdn. Bhd.; Fatih Aquaculture; Morifarm; Cahaya Agro; Eco Nadi; dan Ibnu Anwari Enterprise.
Berkesempatan untuk mengunjungi dan berinteraksi bersama pengusaha-pengusaha pada hari pertama Program Souq Tani adalah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Program Souq Tani yang julung kalinya dianjurkan oleh Fakulti Pertanian dan Faculty of Agriculture Students' Society (FASS) mempunyai objektif untuk membuka ruang kepada pengusaha-pengusaha industri pertanian serta makanan dan minuman untuk mempamerkan dan menjual produk mereka.
Program tersebut juga membuka peluang hubungan rangkaian di antara pelajar-pelajar, khususnya Pelajar Fakulti Pertanian, dengan pengusaha-pengusaha yang terlibat bagi perkongsian pandangan, amalan terbaik dan bimbingan mengenai industri pertanian dan perikanan.
Selaras dengan salah satu objektif Fakulti Pertanian untuk melahirkan graduan-graduan yang dapat mengenal pasti peluang keusahawanan yang ada, khususnya di dalam industri pertanian, Program Souq Tani dihasrat dapat menjadi platform bagi pelajar-pelajar Fakulti Pertanian untuk mula berkecimpung di dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan daya saing diri.
Program juga secara tidak langsung bertujuan untuk memupuk dan membina minat keusahawanan di dalam industri pertanian agar dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri pertanian di Negara Brunei Darussalam.
Fakulti Pertanian, di UNISSA telah ditubuhkan pada Januari 2021, dan antara program yang ditawarkan adalah Program AgriBridge; Program Sarjana Muda Pertanian (Agribisnes); Program Sarjana Muda Pertanian (Agroteknologi); Program Sarjana Pertanian (Agribisnes) (secara kajian); Program Sarjana Sains Pertanian (secara kajian) dan Program Doktor Falsafah.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]