Home > Bahasa Melayu
Keputusan BCGCE Peringkat ‘AS’, ‘A’ Dikeluarkan
August 30th, 2023 | 13:23 PM | 222 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan mengeluarkan keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. Peringkat 'AS' dan 'A' sesi Mei/Jun 2023.
Seramai 1,564 calon telah menduduki peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. Peringkat 'AS' sesi Mei/Jun 2023. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,557 adalah calon sekolah dan tujuh orang adalah calon persendirian.
Di peringkat nasional, 1,199 calon (76.66 peratus) telah memperolehi 2 'AS' Level dan ke atas manakala seramai 811 (51.85 peratus) calon memperolehi 3 'AS' Level dan ke atas.
Di peringkat sekolah pula, seramai 1,197 calon (76.88 peratus) telah memperolehi 2 'AS' Level dan ke atas manakala seramai 810 calon (52.02 peratus) memperolehi 3 'AS' Level dan ke atas.
Sementara itu, bagi peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. Peringkat 'A', seramai 100 calon telah menduduki bagi sesi Mei/Jun 2023. Daripada jumlah ini, seramai 19 (19.00 peratus) adalah calon sekolah dan 81 (81.00 peratus) adalah calon persendirian.
Di peringkat nasional, seramai 43 calon (43.00 peratus) telah memperolehi 2 'A' Level dan ke atas manakala calon yang memperolehi 3 'A' Level dan ke atas adalah seramai 28 calon (28.00 peratus).
Di peringkat sekolah, seramai 12 calon (63.16 peratus) telah memperolehi 2 'A' Level dan ke atas manakala calon sekolah yang memperolehi 3 'A' Level dan ke atas adalah seramai sembilan calon (47.37 peratus).
Penuntut-penuntut yang telah mengambil peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing. Manakala calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.
Bagi mana-mana calon yang berhasrat untuk menduduki peperiksaan Brunei-Cambridge GCE 'AS' 'A', 'O' Level dan IGCSE bagi sesi Oktober/November 2023, Pendaftaran Late Entry akan dibukakan bermula hari Rabu, 30 Ogos 2023 hingga hari Khamis, 7 September 2023.
Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai pendaftaran peperiksaan sesi Oktober/November 2023 bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan di 'www.moe.gov.bn' atau datang terus ke kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]