Home > Bahasa Melayu
Dikir Maulud 12 Malam Kini Bermula
Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas
September 17th, 2023 | 08:52 AM | 76 views
MADANG
Semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara kini bergema dengan Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam selama 12 malam berturut-turut bermula malam tadi bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang diraikan setiap 12 Rabiulawal.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta jabatan-jabatan di bawahnya membuka tirai Dikir Maulud 12 malam berturut-turut sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi tahun 1445H/2023M bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis/Madang.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi.
Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya, para Pegawai Masjid, Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan para jemaah masjid.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dan disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Bilal Masjid SSBRPAD, Awang Razman bin Haji Ramlee.
Majlis diteruskan dengan bacaan Dikir beramai-ramai dan ditutup dengan Doa Selamat.
Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan KSSUP dalam sama-sama meraih pahala dan memupuk rasa cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Aimi Sani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]