Home > Bahasa Melayu
Berniaga Durian Sambil Beramal
Foto: Ihsan Dayang Siti Rusidah Arsat
September 21st, 2023 | 07:19 AM | 98 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Durian yang dikenali sebagai Raja Buah sememangnya menjadi tumpuan kita terutama sekali apabila tiba musimnya bagi masyarakat tempatan di negara ini malah di Asia Tenggara.
Raja Buah yang setentunya memiliki bau yang menyengat, isinya yang tebal dan lemak serta enak sudah pasti menggoda dan menarik perhatian terutama sekali penggemar buah itu untuk mencubanya.
Pelita Brunei sempat menemu bual salah seorang pengusaha yang sudah kali ketiga mengadakan jualan durian menerusi inisiatif 'Makan Durian Sepuasnya' dengan mengenakan bayaran cuma BND10 sekepala sahaja.
Dayang Siti Rusidah Arsat dari Kampung Limau Manis di Jalan Junjongan itu menyatakan bahawa tujuan mengadakan makan durian sepuasnya itu selain berniaga, dalam masa yang sama adalah untuk sambil beramal.
“Kami memberikan para pengunjung kepuasan dengan memakan durian tanpa had jumlah duriannya tergantung kepada kehendak mereka," katanya.
Tambahnya, mereka tidak takut rugi malah mereka membuat inisiatif ini sambil membuat amal kebajikan meskipun para pelanggan memakan sebanyak yang mereka mahu di sana namun bukan dibawa balik atau 'tapau' dan jika itu akan dikenakan bayaran tambahan.
Buah durian yang disediakan adalah sebahagiannya buah-buahan tempatan dan juga dari negara jiran, antaranya ialah Kuning Putih, Tembaga, Kawin dan Suluk. Perbezaan musim buah kali ini adalah hasil buahnya lebih banyak dari musim sebelumnya.
Salah seorang pengunjung, Dayang Azura binti Haji Tahamit melahirkan rasa puas dan tidak menyesal dengan bayaran BND10 sekepala untuk menikmati Durian Putih yang lunak dan amat berbaloi sekali.
Selain Durian Putih, mereka juga ada menjual buah-buahan lain dengan harga yang sangat berpatutan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by RTB NEWS
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]