Home > Breaking News
Buku Paparkan Kedayatahanan Pendidikan Ketika Pandemik
Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Haji Awang Abas
September 24th, 2023 | 07:04 AM | 164 views
BERAKAS
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan melancarkan Buku Bergambar (Photobook) bertajuk 'Education Resilience : Brunei Darussalam's COVID-19 Journey' semasa Majlis Sambutan Hari Guru Ke-33, Tahun 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Buku 'Education Resilience: Brunei Darussalam's COVID-19 Journey' ini disunting dan diusahakan oleh Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan dan disokong oleh jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama termasuk institusi-institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah dan maktab-maktab kerajaan dan bukan kerajaan.
Buku tersebut merakamkan kedayatahanan tinggi sistem pendidikan ketika negara dilanda pandemik COVID-19. Selain itu, ia juga bertujuan untuk merakamkan penghargaan atas sumbangan segenap lapisan warga pendidikan dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran tetap berjalan ketika negara dan dunia dilanda musibah.
Buku ini melakarkan detik dan peristiwa yang berlaku melalui penceritaan bergambar, bermula daripada sesi persekolahan ditutup, fasa de-eskalasi seta pemulihan kehilangan masa kurikulum.
Kandungan buku tersebut menunjukkan suasana sekitar pandemik COVID-19 yang telah memberikan cabaran besar kepada sistem pendidikan di seluruh dunia, termasuk di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Namun, NBD telah menunjukkan kedayatahanan yang tinggi dalam bidang pendidikan semasa pandemik tersebut.
Antara faktor penting yang ditekankan di dalam buku tersebut adalah komitmen Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran tetap berterusan walaupun dalam keadaan yang sukar serta disokong oleh komitmen tinggi daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pelajar.
Kedayatahanan pendidikan yang tinggi ini juga adalah hasil daripada usaha sama melalui Pendekatan Seluruh Negara (Whole of Nation Approach). Buku ini diharap akan dapat menjadi ristaan dan rujukan generasi akan datang.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai buku tersebut bolehlah menghubungi Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan melalui e-mel di '[email protected]'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]