Home > Breaking News
Kebawah DYMM Akan Berangkat Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC
October 17th, 2023 | 07:54 AM | 272 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Gulf Cooperation Council (GCC) yang akan berlangsung di Arab Saudi pada 20 Oktober 2023.
Sidang Kemuncak ASEAN–GCC akan dipengerusikan bersama oleh Republik Indonesia, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini, dengan Kerajaan Arab Saudi.
Ia akan menghimpunkan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN dan GCC buat pertama kalinya sejak penubuhan hubungan ASEAN-GCC secara rasmi pada tahun 1990.
ASEAN-GCC Joint Vision diluluskan semasa mesyuarat ASEAN-GCC di peringkat menteri yang pertama pada bulan Jun 2009 di Manama, Kingdom of Bahrain, untuk menerokai bidang-bidang kerjasama di antara kedua-dua belah pihak.
Berikutan mesyuarat berkenaan, ASEAN-GCC Two-Year Action Plan (2010-2012) dipersetujui untuk melaksanakan kerjasama di antara ASEAN dan GCC yang merangkumi pelbagai bidang, iaitu perdagangan; kerjasama dan pembangunan ekonomi; serta kebudayaan; Pendidikan; dan penerangan.
Sidang Kemuncak berkenaan antara lainnya akan membincangkan usaha-usaha bagi mengukuhkan lagi hubungan ASEAN-GCC serta memperkembangluaskan kerjasama termasuk dalam isu-isu yang berkepentingan bersama seperti ekonomi digital dan perubahan iklim.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]