Home > Bahasa Melayu
STAR Lahirkan Pembaca Al-Quran Berpotensi
November 12th, 2016 | 12:25 PM | 1533 views
BANDAR SERI BEGAWAN
GADONG, Jumaat, 11 November. - Pengambilan Ke-20 Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) Sesi Tahun 2017 - 2018 mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima seramai 674 permohonan dari seluruh negara.
Walau bagaimanapun, hanya 606 orang sahaja layak untuk ditemu duga mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Dari jumlah tersebut, seramai 531 orang ditemu duga di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong seramai 23 orang, Daerah Belait seramai 36 orang dan Daerah Temburong seramai 16 orang.
STAR merupakan skim yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi melahirkan remaja berpotensi dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berterannum.
SEMASA temuduga Pengambilan Ke-20 Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) Sesi Tahun 2017 - 2018 yang dijalankan di Sekolah Ugama Beribi, Gadong.
Ia bertujuan untuk melatih dan membimbing remaja dalam pembacaan Al-Quran melalui lagu-lagu tilawah masyhur bagi melahirkan pembaca-pembaca Al-Quran remaja berpotensi untuk dijadikan sebagai pelapis qari dan qariah negara ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sesi temu duga dijalankan pada hari ini di seluruh negara dan bagi Daerah Brunei dan Muara akan dijalankan selama empat hari, setiap Jumaat dan Ahad, hingga 20 November bertempat di Sekolah Ugama Beribi, Gadong.
PEGAWAI Pelajaran, Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, JPI, Awang Haji Japar bin Haji Brahim @ Ibrahim ketika ditemubual Pelita Brunei.
Pegawai Pelajaran, Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, JPI, Awang Haji Japar bin Haji Brahim @ Ibrahim berkata, skim tilawah tersebut telah pun bermula sejak tahun 1997 dan dengan Pengambilan Sesi 2017 - 2018 ini genaplah 20 tahun skim tersebut dilaksanakan.
"Skim ini tidak menghadkan jumlah pelajar yang ingin ikut serta. Ia tertakluk pada keputusan markah yang akan ditetapkan oleh jawatankuasa," katanya pada Pelita Brunei.
Latihan bagi pelajar yang berjaya terpilih untuk mengikuti skim tersebut, jelasnya, akan dijalankan selama dua tahun dan selepas tempoh masa berkenaan, para pelajar akan menduduki ujian bagi menguji sejauh mana kelancaran mereka membaca Al-Quran secara berlagu.
PELAJAR Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Dayang Siti Nur Mashitah binti Shahrul Khushairi
Salah seorang pelajar yang ditemu duga, Dayang Siti Nur Mashitah binti Shahrul Khushairi ketika ditemui berkata, beliau banyak membuat latihan dari rumah sebelum ditemu duga, bagi meningkatkan lagi bacaan Al-Quran secara murattal dan terannum.
"Saya memohon bagi mengikuti skim ini adalah atas dorongan diri sendiri kerana saya sangat minat membaca Al-Quran," kata pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Marlinawaty Hussin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]