Home > Bahasa Melayu
Pendekatan Turun Padang Meningkatkan Keyakinan Masyarakat
Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said
February 29th, 2024 | 08:29 AM | 130 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) jelas mencerminkan keprihatinan mendalam dan berterusan baginda berkaitan hal-ehwal kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat dan penduduk serta pandangan jauh lagi bijaksana baginda pada memastikan kemajuan pembangunan dan kemakmuran negara dalam hala tuju mencapai Wawasan Brunei 2035.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof mengetengahkan empat perkara utama berdasarkan pengamatan Yang Berhormat terhadap inti pati titah baginda tersebut semasa menyampaikan usul menjunjung kasih pada hari kedua Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat menyentuh mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa Majlis Mesyuarat Negara adalah merupakan medan untuk melahirkan pendapat dan buah fikiran yang membina oleh para ahlinya dan seterusnya berhasrat agar majlis ini kekal relevan untuk membincangkan perkara-perkara strategik yang bermanfaat bagi rakyat dan negara sekali gus memberikan perspektif berbeza dan idea-idea serta pendekatan baharu ke arah menyuntik kemajuan dalam bidang-bidang berkeutamaan.
Sesungguhnya jelas Yang Berhormat titah baginda ini penuh khidmat, penuh nasihat dan tepat sekali melihat akan kedudukan dan peranan penting majlis ini dalam struktur pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagaimana menurut Perlembagaan Negara.
“Demikianlah juga, perkara-perkara yang dibawa ke persidangan majlis seharusnya mengetengahkan dan membahaskan kepentingan dan keutamaan negara sebagai terjemahan relevansinya kepada memastikan kemajuan dan keberhasilan usaha-usaha yang diterajui sektor-sektor dalam kerajaan baginda.
“Titah baginda juga menganjurkan agar setiap kita dalam majlis ini untuk memanfaatkan kebijaksanaan masing-masing untuk berpandangan lebih jauh dengan melihat kepada amalan-amalan terbaik khasnya dari luar negara dengan dukungan data-data dan maklumat yang betul sebagai sandaran pada aspek 'forward looking' dan transformasi yang dihasratkan baginda tersebut," jelas Yang Berhormat.
Jelas Yang Berhormat, dalam titah baginda menyarankan agar Ahli-ahli MMN yang dilantik untuk sentiasa turun padang untuk bermuzakarah bersama pihak-pihak berkepentingan dari sektor kerajaan, swasta, persatuan-persatuan dan lebih-lebih lagi penduduk yang diwakili masing-masing.
“Baginda percaya perundingan timbal balik ini akan memastikan 'inclusiveness' kesemua pihak dan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat serta membantu reka dasar kerajaan baginda.
“Perkara yang disentuh dalam titah berkenaan jelas menunjukkan keprihatinan baginda pada memastikan keterangkuman dan keterlibatan setiap pihak berkepentingan di negara ini dalam apa jua perkara yang ditunduki oleh ahli-ahli majlis ini," kata Yang Berhormat lagi.
Ini menurut Yang Berhormat adalah mustahak untuk memastikan isu-isu yang diketengahkan adalah 'authentic' dan berasaskan perundingan 'underground' khasnya sekali gus untuk mendapatkan fakta-fakta yang betul berkaitan isu yang ditimbulkan oleh masyarakat.
“Perdekatan turun padang ini juga akan berupaya membantu pihak-pihak berkaitan dalam kerajaan, meneliti dasar-dasar yang berkaitan serta meningkatkan keyakinan masyarakat. Apatah lagi bila kerap dilaksanakan, sebagaimana seruan titah baginda berkenaan.
“Atas dasar inilah baginda sentiasa berkenan meluangkan masa bercemar duli berangkat turun padang dan bersua muka bagi melihat secara dekat keadaan semasa rakyat baginda sendiri. Amalan sedemikian perlulah dijadikan sebagai teladan pada kita semua khususnya dalam kalangan khususnya pemimpin-pemimpin akar umbi," jelas Yang Berhormat lagi.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Nur Amalia Alisha Daud
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]