Home > Headline
Kebawah DYMM Akan Berangkat Hadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia
Jabatan Penerangan
March 2nd, 2024 | 07:44 AM | 246 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang akan dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, dengan Perdana Menteri Australia, The Honourable Anthony Albanese, pada 5 hingga 6 Mac 2024 di Melbourne, Australia.
Sidang Kemuncak Khas ini diadakan bersempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia bagi meningkatkan kerjasama ASEAN-Australia di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif yang ditubuhkan pada tahun 2021, serta meneroka peluang-peluang kerjasama baharu bagi menjana pertumbuhan ekonomi, menangani perubahan iklim, menggalakkan penggunaan tenaga bersih dan meningkatkan kerjasama maritim.
Sejak menjadi Rakan Dialog ASEAN pertama pada tahun 1974, ASEAN dan Australia bekerjasama untuk menangani cabaran kompleks yang dihadapi di rantau ini, di mana kerjasama praktikal ASEAN-Australia telah menjadikan rantau ini lebih aman, terbuka, stabil dan makmur.
Semasa di Melbourne juga nanti, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijangka akan mengadakan perjumpaan-perjumpaan berasingan bersama The Honourable Perdana Menteri Australia dan Perdana Menteri New Zealand, The Right Honourable Christopher Luxon, serta akan berkesempatan menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Australia dan New Zealand.
Kali terakhir Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Australia adalah pada bulan Jun 2023 bagi Keberangkatan Negara; dan pada bulan Mac 2018 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Sydney.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Jabatan Perdana Menteri
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]