Home > Bahasa Melayu
Berangkat Tiba di Istanbul
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat tiba di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul dijunjung oleh Menteri Ekonomi Republik Turki, Tuan Yang Terutama Mustafa Elitas. | FOTO: INFOFOTO (Mohamad Azmi Haji Awang Damit)
April 14th, 2016 | 13:21 PM | 3493 views
REPUBLIK TURKI, ISTANBUL
Rabu, 13 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini selamat berangkat tiba di Republik Turki bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam Sesi Ke-13 yang akan berlangsung di Pusat Kongres Istanbul mulai 14 hingga 15 April 2016.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul dijunjung oleh Menteri Ekonomi Republik Turki, Tuan Yang Terutama Mustafa Elitas.
Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Turki, Tuan Yang Terutama Awang Haji Mohd. Sahrip bin Haji Othman.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima junjung ziarah sejurus keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam Sesi Ke-13.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Istanbul, Republik Turki, tempat persemayaman baginda di sepanjang keberangkatan ke Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam Sesi Ke-13.
Pada tahun ini, Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam Sesi Ke-13 akan membawa tema 'Perpaduan untuk Keadilan dan Keamanan' bagi negara-negara ahli dan bukan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
JUGA menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.
Sidang Kemuncak OIC yang diadakan setiap tiga tahun ini merupakan mesyuarat terbesar bagi OIC dan dihadiri oleh raja-raja serta ketua-ketua negara dan kerajaan negara-negara ahli dan bukan ahli OIC.
Sidang Kemuncak berkenaan mengambil keputusan-keputusan dasar dan memberi bimbingan di atas semua isu-isu yang berkaitan dengan merealisasikan objektif sebagaimana yang diperuntukkan dalam Piagam Pertubuhan Kerjasama Islam.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima junjung ziarah pegawai dan kakitangan Pejabat Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Turki.
Ia juga mempertimbangkan isu-isu lain yang penting kepada negara-negara ahli dan juga rakyat.
Pertubuhan OIC adalah pertubuhan yang kedua terbesar di dunia selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pertubuhan ini diwujudkan pada 25 September 1969 dan kini dianggotai oleh 57 buah negara ahli daripada empat benua.
Negara Brunei Darussalam menjadi ahli penuh OIC pada bulan Januari 1984.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]